Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Malaysia mencatatkan kadar edaran ubat tiruan antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah edaran semua ubat di negara itu, menurut artikel oleh Emerging Markets Health Network (EMHN).

Menurut EMHN kadar itu jauh lebih rendah berbanding dengan beberapa negara jiran anggota Asean itu seperti Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, wujud kebimbangan mengenai kualiti dan integriti banyak daripada ubat tradisional yang dijual secara meluas di Malaysia kerana ada antaranya didapati mengandungi racun, katanya.

"Satu kajian diterbitkan pada 2005 mendapati 14 peratus Smilax Luzonensis (lebih dikenali sebagai Akarbanar) yang diuji kaji menunjukkan mengandungi 0.51-1.23ppm raksa dan dengan itu melanggar syarat kualiti bagi ubat tradisional di Malaysia," menurut artikel itu.

Artikel bertajuk "Fake Medicines in Asia"  (Ubat Tiruan di Asia) ditulis Pengarah Eksekutif EMHN Philip Stevens dan Felo Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) Malaysia Dr Helmy Haja Mydin.

Artikel itu juga menyatakan ubat tiruan bukan sahaja semakin menjadi ancaman di negara-negara Asia lebih miskin, tetapi turut memasuki rangkaian bekalan malahan dalam pasaran dikawal ketat seperti Malaysia.

Menurutnya ubat tiruan terbahagi kepada dua kategori utama – ubat-ubatan yang sengaja dihasilkan dengan ramuan tiruan dan yang dihasilkan dengan ramuan yang tidak mencapai standard ditetapkan tanpa disengajakan berikutan amalan pembuatan tidak memuaskan.

Ubat tiruan tidak mampu menyembuhkan keadaan pesakit tetapi sebaliknya ubat tiruan mengandungi bahan toksin seperti arsenik atau antibeku yang berbahaya kepada kesihatan dan mungkin menyebabkan kematian.

Contoh lain pencemaran toksik didapati dalam ubat tiruan termasuk logam seperti plumbum atau arsenik, racun tikus, antibeku dan pencuci lantai," menurutnya.

- Bernama

ADS