Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah dakwa Rafflesia di Lojing terancam

Bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia (Rafflesia kerrii) yang juga dikenali sebagai bunga pakma dan menjadi ikon kepada Tanah Tinggi Lojing dikhuatiri terancam berikutan penggondolan rakus khazanah alam di tanah tinggi itu.

Walaupun kerajaan Kelantan telah mewartakan seluas 550 hektar kawasan tanah tinggi itu sebagai kawasan pemuliharaan Rafflesia pada 2009 namun disebabkan tiada pasukan pemantau diwujudkan, perkembangan yang berlaku di kawasan tanah itu semakin membimbangkan para pencinta alam.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Zulhazman Hamzah berkata melalui Ekspedisi Saintifik Tanah Tinggi Lojing pada April 2008, pihaknya mendapati tanah tinggi itu kaya dengan tumbuhan itu.

"Malah bunganya lebih besar daripada yang dilihat di Sabah dan Sarawak malah disebabkan jumlahnya yang banyak, bunganya boleh dilihat pada setiap hari.

"Ada di satu kawasan itu terdapat 120 kudup bunga berkenaan dan khazanah berharga ini kita khuatir bakal menerima nasib buruk jika kawasan itu juga turut diterokai," katanya kepada pemberita di UMK Kampus Jeli, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kampus UMK Jeli, Prof Dr Ibrahim Omar, Pensyarah Fakulti Industri Asas Tani UMK  Prof Madya Dr Kassim Buhiran dan Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali.

Zulhazman berkata lebih 100 peserta ekspedisi yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah beberapa universiti lain turut mendapati kemusnahan besar alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu.

"Kita dapati kawasan persekitarannya pada tahun 2008 itu telah diteroka atas nama pertanian yang tidak terkawal dan telah mencemarkan alam sekeliling.

"Paling merisaukan apabila melihat beberapa sungai utama di Lojing iaitu Sungai Ber dan Sungai Belatop telah tercemar teruk yang airnya mengalir sehingga ke Sungai Kelantan," katanya.

Beliau berkata ia juga telah memberi impak yang besar terhadap kehidupan penduduk Orang Asli di Lojing yang selama ini bergantung hidup kepada sumber alam.

Berikutan itu, satu ekspedisi saintifik yang sama diadakan di Chamah iaitu kawasan yang kaya dengan biodiversiti yang terletak bersebelahan dengan Hutan Belum di Perak.

"Di situ ada tadahan air yang kita khuatir kawasannya akan tercemar dan menjejaskan bukan sahaja di Chamah tetapi juga di Hutan Belum," katanya.

Menurutnya hasil kajian itu telah diserahkan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan agar mereka mengambil langkah tertentu mengatasi masalah pencemaran tersebut.

"Kita akan sekali lagi ke Tanah Tinggi Lojing pada bulan April ini untuk melihat sama ada kesannya sudah berkurangan atau semakin buruk," katanya.

Bagi Dr Kassim, kesan kemusnahan Tanah Tinggi Lojing itu perlu diperbetulkan segera oleh kerajaan Kelantan kerana kesannya kini agak serius.

"Bayangkan gunung yang bercerun dan tidak sepatutnya ditarah atas nama pertanian telah diperlakukan sebegitu rupa, kita khuatir ia sukar untuk diselamatkan lagi pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata Tanah Tinggi Lojing adalah merupakan jantung kepada Kelantan yang kini penduduk seperti Pasir Mas dan Kota Baharu sudah mula menerima kesan berikutan air di Sungai Kelantan kini keruh.

"Dahulu ada banyak etak iaitu makanan eksotik rakyat Kelantan. Kini etak sudah semakin pupus yang hanya boleh didapati di anak-anak sungai yang lain dan jika tidak ditangani, keadaannya mungkin sama seperti sekarang," katanya.

Sementara itu bagi Dr Ibrahim, UMK sedia membantu kerajaan Kelantan dalam menangani keadaan seperti di Tanah Tinggi Lojing itu.

"Kami tidak ada kepentingan politik. Ini kajian ilmiah dan UMK sedia membantu agar pertanian secara lestari boleh dilakukan di tanah tinggi itu," katanya.

Beliau berkata daripada 894,271 hektar jumlah keluasan hutan di Kelantan, hanya 7.2 peratus atau 108,783 hektar hutannya diwartakan sebagai hutan simpan dan taman negara.

"Sejumlah besar kawasan hutan boleh musnah pada bila-bila masa kerana ia tidak diwartakan dan ini soal masa depan generasi akan datang," katanya.

Bagi Azmi, MTRK memohon agar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V supaya campur tangan menangani keadaan di Lojing itu.

"Hanya Baginda sahaja yang boleh mengatasi keadaan ini. Kami rakyat sudah begitu sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku itu," katanya.

- Bernama

ADS