Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal PKFZ: Dr Ling tak ubah apa-apa, kata Dr M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap kertas kerja berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau berkata kertas kerja itu disediakan seorang pegawai kanan Kementerian Pengangkutan sebelum diserah kepada Dr Ling untuk ditandatangani.

Dalam prosiding hari ini, Dr Mahathir turut memperjelas mekanisme penyediaan kertas kerja sebelum dibentang kepada Kabinet untuk keputusan.

"Menteri Pengangkutan itu tidak pernah pada sebarang masa menolak apa-apa yang disediakan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Dalam kes ini, ada juga kami jumpa percanggahan antara dokumen yang dibentang kepada Kabinet dan kehendak penjual.

"Perjanjian itu disediakan Ketua Setiausaha berdasarkan apa yang diyakini beliau dan apa yang dimuktamad selepas berunding dengan penjual," katanya ketika menjawab soalan peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

"Dalam perbincangan itu, beliau mungkin fikir sudah dapat keizinan penjual tetapi penjual mungkin tidak setuju. Saya percaya penjual tidak setuju dengan keputusan rundingan itu dan ingin merayu. Jadi, di sini ada percanggahan iaitu penjual tidak bersetuju namun terdapat surat yang menyatakan perkara itu telah dipersetujui," katanya.

Dr Mahathir berkata satu lagi masalah ialah menteri itu tidak menghadiri mesyuarat namun menurunkan tandatangan tanpa sebarang bantahan sebelum kertas kerja itu dibawa ke Kabinet.

"Menteri itu menurunkan tandatangan tanpa mengubah apa-apa. Itulah bagaimana kertas kerja tersebut disediakan. Menteri itu memang berhak membuat pembetulan atau perubahan, namun tidak ada bukti beliau diminta berbuat demikian. Ia dibentang kepada Kabinet yang memberi pertimbangan sewajarnya kerana kertas kerja itu ditandatangani menteri berkenaan.

"Itulah yang berlaku kepada saya ketika menerima kertas kerja daripada Menteri Kewangan. Jika saya percaya ada sebarang pembetulan, saya perlu memberitahu mereka. Berdasarkan pengalaman saya, saya tidak pernah menolak kertas kerja yang disediakan oleh pegawai saya. Jika anda berkata menteri berkenaan cuba menipu Kabinet, ia mungkin membayangkan bahawa pegawai terbabit juga bersubahat, namun tidak ada bukti seumpama itu dalam kes ini," katanya.

Dr Mahathir juga berkata Kabinet tidak terikat dengan laporan penilaian kerajaan dalam menentukan harga tanah PKFZ.

"Kami mengambil kira perkara itu tetapi tidak terikat dengannya. Keputusan untuk membeli tanah untuk projek itu dibuat secara konsensus," katanya.

Dr Mahathir, yang merupakan saksi keempat pembelaan, selesai memberi keterangan hari ini.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp, iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp, iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986, didakwa melakukan semua kesalahan di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung 12 Mac ini.

- Bernama

ADS