Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lebih 100 masyarakat Suluk di Sandakan mengadakan perhimpunan aman bagi membantah pencerobohan sekumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang berkubu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, sejak bulan lepas.

Perhimpunan selama sejam di hadapan Dataran Majlis Perbandaran Sandakan itu diketuai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong Datuk Samsudin Yahya dan disertai pemimpin Suluk serta anggota Persatuan Suluk Bersatu Sabah.

Samsudin berkata seluruh masyarakat Suluk bersatu hati menyokong penuh sebarang tindakan terhadap kumpulan pengganas itu termasuk serangan ofensif yang dilancarkan pasukan keselamatan pada Selasa lepas.

"Kami orang Suluk di sini sukakan keamanan dan amat mengecam tindakan pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu yang telah mengorbankan pasukan keselamatan negara. Perbuatan itu biadap di negeri dan negara yang berdaulat ini," katanya kepada pemberita di Sandakan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan Sandakan Jamal Ali berkata persatuan yang mempunyai lebih 300 anggota berdaftar itu memberi kepercayaan penuh dan kesetiaan kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Kami menafikan khabar-khabar angin masyarakat Suluk akan membantu kumpulan pengganas itu...kami tiada kaitan dengan pencerobohan itu. Kami orang Sabah dan marah pada mereka yang menceroboh itu," katanya yang turut menyokong serangan ofensif selepas rundingan secara aman tidak diendahkan kumpulan pengganas itu.

Ketua Kampung Bahagia Sharip Hassim, 56, berkata meskipun mempunyai pertalian darah dengan masyarakat di negara jiran itu, pihaknya tidak mencampuri tindakan itu, malahan sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan di kampung bersama polis.

"Kami sokong tindakan serangan kepada kumpulan penceroboh itu kerana kami tidak mahu perkara itu terus melarat dan mengambil masa yang lama. Kami hidup aman damai biarpun mempunyai kira-kira 5,000 penduduk sejak kampung ini dibuka pada 1984," katanya.

Samsudin turut menyerahkan sumbangan peribadi berjumlah RM5,000 kepada Tabung Wira Lahad Datu manakala RM5,000 pula sumbangan daripada persatuan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong ketika dihubungi berkata bandar Sandakan berada dalam keadaan terkawal dan tenang.

- Bernama

ADS