BERITA

KSN: Kenaikan gaji bukan buah tangan untuk p'raya

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Mac 2013, 9:09 pagi

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ali Hamsa menangkis tanggapan bahawa pengumuman kenaikan gred gaji bagi perkhidmatan awam hari ini adalah buah tangan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya beliau berkata, pengumuman itu merupakan amalan tahunan yang dilakukan dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA).

"Tidak (buah tangan). Jangan salah tafsir. Ada pihak yang hanya suka ambil perkara ini sebagai negatif.

"Persidangan MAPPA ialah ia satu amalan tahunan bagi perkhidmatan awam.

"Dalam MAPPA kira akan umumkan pulangan atau penambahbaikan bagi setiap tahun oleh kerajaan," katanya ketika ditanya dalam sidang media selepas majlis tersebut di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan perasmiannya mengumumkan penyelarasan perubahan lapisan gred jawatan atau gred gaji bagi pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disetarakan dengan perkhidmatan awam.

Kenaikan gred gaji itu dilakukan melalui Sistem Saraan Transformatif yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion, katanya.

Pengumuman bagi pelarasan perubahan lapisan gred jawatan itu dibuat ketika Najib dijangka untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi mengadakan pilihan raya pertamanya.

Berita baik itu juga diumumkan ketika pasukan keselamatan negara berdepan situasi berbahaya di Lahad Datu untuk menumpaskan kumpulan penceroboh militan dari Filipina yang kini mengorbankan lapan orang anggota polis.

Laporan Bernama menyebut, penyelarasan gred gaji tersebut mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM, katanya.

"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan dengan gred jawatan atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang dulu dalam kelompok gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29 Perkhidmatan Awam Am," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Jelasnya, jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 kini turut disetarakan dengan gred jawatan 44.

Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52, katanya.

"Sesungguhnya kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara perkhidmatan," kata Najib.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.