Malaysiakini BERITA

PRU: Saya perlukan masa, kata Najib

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau memerlukan masa sebelum mengumumkan tarikh pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang dihujani soalan berkaitan pilihan raya dalam rancangan  “Conversation with the PM” yang disiarkan di TV3 malam tadi berkata, beliau perlu membuktikan kepada rakyat terlebih dahulu bahawa pelan serta agenda transformasi yang dibawanya berjaya.

"Ya (boleh umum pilihan raya). Tetapi saya mahu berdepan dengan rakyat dan menunjukkan bahawa agenda transformasi kami sebenarnya sedang berjalan dan ini adalah kemajuan sebenar kepada negara. Inilah perubahan dan kita sedang menyampaikan. Dan rakyat boleh merasainya.

"Jadi saya perlukan masa kerana seperti yang anda tahu, apabila kita merancang sesuatu perkara, kita boleh merancang dan menyampaikan. Ia mengambil masa. Tetapi saya bersyukur yang keputusan (transformasi) adalah positif. Dan keputusan keseluruhannya menunjukkan bahawa ia mencapai di luar jangkaan kami dalam masa empat tahun.

"Mesej kami kepada rakyat ialah, kami telah lakukan pelbagai perkara dalam masa empat tahun ini.  Jika kami masih diberikan mandat, saya akan buktikan yang kami akan lakukan lebih baik dalam masa lima tahun akan datang," katanya.

Selain itu, dalam rancangan itu, Najib yang diajukan sebanyak 20 soalan berkata, rakyat Malaysia juga perlu bijak memilih serta menentukan sesebuah kerajaan pada masa akan datang.  

Katanya, rakyat tidak wajar mempertaruhkan negara kepada pembangkang yang menurutnya mempunyai ideologi yang berbeza antara satu sama lain.

"Saya ingin memberitahu rakyat yang kita memerlukan kerajaan yang kuat untuk negara. Kita tidak boleh menerima ketidakstabilan dan ketidakstabilan ini yang akan menjadikan kerajaan lemah. Semua perkara yang baik telah dilakukan dan semua pencapaian yang telah kita lalui selama 50 tahun ini boleh dihakis dalam sekelip mata dan ini bukanlah untuk eksperimen.

"Ini adalah masa untuk kita semua meletakkan masa depan kepada kerajaan yang mempunyai rekod yang kukuh. Kerajaan yang mempunyai masa depan yang jelas. Kita tidak boleh memperjudikan kepada pembangkang sebab mereka tidak mempunyai platform yang kukuh serta masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza. Mereka juga tidak berdaftar dan mempunyai tiga simbol yang berbeza. Mereka juga tidak dapat menentukan siapa yang akan memimpin sekiranya mereka menjadi kerajaan.

"Jadi pesan saya kepada rakyat Malaysia, kita mempunyai masa depan yang cerah," kata Najib lagi.