Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menghapuskan penempatan perkampungan air di perairan Sabah sewaktu mengetuai pentadbiran sebagai perdana menteri kerana bimbang penduduk berkenaan akan memberontak.

Bagaimanapun keadaan senario semasa yang berbeza di Sabah pada masa ini mewajarkan perkampungan berkenaan dihapuskan, katanya.

"Kalau kita cuba pada masa itu mereka akan memberontak. Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada orang luar juga.

"Kita tak mahulah ada banyak masalah tanpa ada sebab. Tetapi, kali ini kita dapati mereka terbuka kepada kemasukan orang asing tanpa diketahui oleh pegawai-pegawai," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan di Kuala Lumpur petang ini.

Beliau diminta menjelaskan perkara itu susulan gesannya pada hari Khamis lalu agar kerajaan tidak lagi membenarkan rangkaian rumah yang dibina di atas batang kayu itu.

Mahathir memberi alasan , ia boleh digunakan untuk pencerobohan asing selain menyumbang kepada pencemaran.

Beliau membuat gesaan berkenaan susulan tragedi yang mengorbankan enam orang anggota polis Malaysia dalam serangan hendap oleh penceroboh bersenjata di perkampungan air di Semporna Sabah.

Menurut Mahathir lagi, penempatan semula penduduk perkampungan air itu boleh dilakukan kerajaan selepas kerajaan mengenal pasti mereka yang merupakan warganegara, warga asing serta mereka tanpa dokumen pengenalan diri.

"Kita perlu tempatkan semula mereka tetapi kita kena cari tanah dan bezakan antara rakyat kita, orang asing dan mereka tanpa pengenalan diri," katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS