Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyetaraan gaji dan gred anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penjawat awam merupakan antara langkah penting ke arah pelaksanaan strategi Kepolisian Kelas Dunia (WCP).

    

Strategi itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Dalam Negeri dan PDRM menyediakan orang ramai dengan perkhidmatan kepolisian lebih baik di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

    

Ia juga merupakan penanda aras yang akan memantau input dan hasil PDRM berbanding dengan pasukan polis di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Hong Kong, dan berfungsi sebagai garis panduan untuk pegawai kanan polis dan pembuat dasar berkaitan perkara yang perlu diperbaiki dan bidang utama yang diberi keutamaan.

    

Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyetaraan  gaji dan gred PDRM dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), melibatkan 109,209 anggota dan pegawai polis, dilihat mampu menyuntik semangat dan kesiapsiagaan anggota PDRM dengan mendapat imbuhan setimpal tanggungjawab mereka.

    

Penolong Pengarah Pengurusan Maklumat Sumber Manusia Bukit Aman, Datuk Aishah Mohammad dalam temubual dengan Bernama berkata selain penyetaraan gaji dan gred, PDRM juga akan mengkaji deskripsi tugas yang lebih mesra rakyat selari dengan visi dan misi menjadikan PDRM  "agensi peneraju" dalam penguatkuasaan undang-undang.

Tinjauan mesra

    

Antara program mesra rakyat yang telah dilancarkan ialah program turun padang pucuk pimpinan PDRM seperti program "tinjuan mesra" serta "omnipresence" atau kehadiran anggota PDRM di kawasan awam, katanya.

    

Aishah berkata PDRM juga akan mengkaji semua aspek termasuk sumber manusia, logistik dan kewangan dalam menjadikan PDRM bertaraf dunia.

    

Beliau berkata PDRM juga akan memastikan anggotanya bukan sahaja cergas daripada segi fizikal tetapi juga mahir daripada segi taktikal dan kompetensi serta mempunyai daya pemikiran bertaraf dunia.

    

Mereka akan diberikan latihan bersesuaian dengan keperluan zaman moden ini, selain akan dibekalkan dengan peralatan senjata yang canggih dalam menjalankan tugasan mereka yang semakin mencabar, katanya.

    

Katanya perancangan sumber manusia juga akan dilakukan dengan bersistematik supaya cabaran-cabaran baru dapat ditangani, dengan semua anggota PDRM perlu menjalani latihan meningkatkan kecekapan supaya setanding dengan pasukan polis negara maju.

Status kelas dunia  

Aishah berkata pihaknya telah ke Jabatan Polis New York untuk belajar mengenai pengurusan anggota polis dan penggunaan peralatan dan senjata di bandaraya Amerika Syarikat itu bagi dijadikan penanda aras bagi PDRM mencapai status kelas dunia.

    

PDRM kini berusaha memastikan setiap anggotanya berpengetahuan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih profesional kepada masyarakat, dan yakin untuk menjalankan rondaan berseorangan dengan dilengkapi senjata serba canggih, katanya.

    

Kembali kepada topik penyetaraan gred PDRM dan JPA, katanya ianya amat sesuai dilaksanakan memandangkan tanggungjawab berat dipikul anggota polis terutama di peringkat pegawai.

    

Contohnya serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah memperlihatkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai 'ground commander' untuk menangani isu tersebut.

    

Beliau berkata pegawai PDRM bukan sahaja bertanggungjawab mengenai  pengurusan, tetapi juga berhadapan dengan pengurusan taktikal dalam menangani sesuatu kes jenayah.

    

Selain itu, mereka juga harus mempunyai pemikiran secara menyeluruh termasuk mengetahui cara untuk menyusun strategi operasi, katanya.

Kenaikan pangkat

    

Katanya penyetaraan gred juga akan mengatasi masalah kenaikan pangkat di dalam PDRM yang sebelum ini hanya bergantung kepada kekosongan jawatan sahaja dan juga perlu bersaing dengan kemasukan baharu.

    

"Untuk anggota naik pangkat ke peringkat Superintenden memerlukan sehingga 20 tahun, tetapi bagi sesetengah penjawat awam lain di bawah skim JPA yang baru masuk tetapi gajinya lebih besar dari Superintenden.

    

"Paling ketara kepada pegawai polis yang bertugas sebagai 'ground commander'," katanya.

    

Beliau berkata disebabkan kesukaran untuk naik pangkat, tidak mustahil seseorang yang cemerlang dalam pekerjaannya boleh patah semangat untuk bekerja lebih-lebih lagi jika sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

Bantuan pencegahan jenayah

Sementara itu, Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Wira Ayub Yaakob berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin pengenalan inisiatif baharu dalam fasa kedua Program Transformasi Kerajaan (GTP) Mengurangkan Jenayah mampu membuahkan kejayaan seperti yang diusahakan sebelum ini.

   

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif dalam gelombang kedua NKRA itu akan turut melibatkan penyertaan masyarakat dan pihak swasta untuk bersama-sama membantu PDRM membendung jenayah.

   

Sebagai contoh Kempen 1Aman 'Go-to-safety points' yang dilancarkan baru-baru ini, beliau berkata ia melibatkan penyertaan swasta di mana tujuh rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven dan dua cawangan Pos Malaysia Bhd di sekitar Bukit Bintang dipilih sebagai perintis projek untuk memberi bantuan kepada orang ramai yang menjadi mangsa jenayah.

   

"Latihan (mengendalikan kes kecemasan) diberikan PDRM di mana ia merangkumi bantuan pencegahan jenayah seperti tangkapan orang awam, hak pertahankan diri, laporan dan rangkaian polis yang boleh dihubungi," katanya dalam wawancara sempena Hari Polis ke-206.

   

Selain itu, katanya PDRM mewujudkan unit khas Aman Wanita (Amanita) untuk mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor dalam masyarakat dengan menjalin kerjasama dengan golongan suri rumah.

   

"Kita mengiktiraf golongan suri rumah yang kadangkala mempunyai maklumat penting yang diperkatakan menerusi 'mesyuarat tingkap' mereka terutama berkaitan jenayah," katanya sambil menambah pada peringkat permulaan 152 pegawai wanita dikenal pasti terlibat dalam unit berkenaan.

Iktiraf peranan wanita

   

Ayub menyifatkan langkah terbaharu itu sebagai pengiktirafan PDRM terhadap peranan wanita yang selama ini dilihat memainkan peranan penting dalam rumah tangga termasuk menjadi penasihat kepada suami sebelum mereka membuat keputusan.

   

"Kita yakin wanita juga dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara," katanya.

   

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini ketika membentangkan Laporan Tahunan GTP 2012, berkata kadar jenayah dikurangkan sehingga 27 peratus dalam tempoh tiga tahun.

   

Antara langkah-langkah yang dilaksanakan dalam fasa pertama NKRA mencegah jenayah adalah mempertingkat Skim Rondaan Sukarela (SRS), menubuhkan Pasukan Kesedaran Jenayah (CAT), pembinaan mahkamah tambahan dan pelaksanaan pelbagai operasi antaranya Ops Lejang (mencegah curi motosikal).

   

"Mereka (masyarakat) juga melihat kehadiran polis yang ramai antaranya melalui program Omnipresence (kehadiran polis) mampu mengurangkan rasa takut, sekaligus mengubah persepsi mereka terhadap tahap keselamatan di negara ini," kata Ayub.

Indeks persepsi keselamatan

   

Bagi GTP 2.0 yang bermula dari 2013 hingga 2015, pendekatan yang akan dilaksanakan untuk Mengurangkan Indeks Jenayah ialah seperti pencegahan kecurian kenderaan, pemulihan dan peningkatan kemahiran banduan, serta pemulihan pengguna dan penagih dadah manakala bagi pencegahan pecah rumah pula seperti rondaan kediaman dan mewujudkan pasukan kawalan pecah rumah yang khusus.

   

Bagi meningkatkan Indeks Persepsi Keselamatan, kerajaan akan meningkatkan kehadiran PDRM seperti Rakan Cop dan pengenalan aplikasi telefon pintar Butang Panik.

   

Bagi Meningkatkan Bilangan Kertas Siasatan, ia akan mengurangkan nisbah penyiasatan dibuka kepada penyiasatan didakwa, kepada 1:5 manakala bagi meningkatkan kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan polis, antara langkah ialah meningkatkan masa bertindak balas.

   

PDRM mempunyai sasaran yang besar iaitu mengurangkan indeks jenayah sebanyak lima peratus setahun, lima hingga 10 peratus untuk mengurangkan kejadian pecah rumah dan meningkatkan persepsi terhadap keselamatan sebanyak 65 peratus.

   

"PDRM juga menyasarkan untuk meningkatkan kadar pendakwaan bagi kertas siasatan yang dibuka kepada 35 peratus," katanya.

- Bernama

ADS