Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: 'Jenayah demokrasi' PM tangguh p'raya
Diterbitkan:  Mar 27, 2013 10:08 AM
Dikemaskini: Mar 28, 2013 4:26 AM

dikemaskini Perdana menteri kini melakukan 'jenayah demokrasi' apabila bertindak menangguhkan pilihan raya umum ke-13 selepas mandat lima tahun kerajaan sekarang berakhir pada 8 Mac lalu, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Anggota Parlimen Pokok Sena itu berkata, walaupun mandat lalu telah tamat, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak masih belum mengembalikan kuasa untuk memilih kerajaan baru kepada rakyat dengan menangguhkan pilihan raya umum.

"Saya anggap ini satu jenayah demokrasi yang dilakukan BN bagi memastikan mereka terus berkuasa," kata Mahfuz dalam sidang media di ibu pejabat PAS petang ini.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz menggesa agar kerajaan memberikan penjelasan lebih baik berhubung Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Justeru katanya, kerajaan perlu menjelaskan anggapan sesetengah pihak yang mengaitkan penubuhan zon itu dengan usaha untuk tidak mengadakan pilihan raya umum di Sabah.

Mahfuz juga mendakwa, ada sesetengah pihak meramalkan BN akan kehilangan banyak kerusi di Sabah dalam pilihan raya akan datang.

"Adakah ESSZONE ini bertujuan untuk mengelakkan kehilangan itu (kerusi BN di Sabah)," tanya Mahfuz.

MP itu berkata, beliau menyokong pewujudan zon itu bagi tujuan keselamatan berharap ia tidak merencatkan hak-hak demokratik rakyat untuk mengundi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun RazaK pada 25 Mac lalu mengumumkan pewujudan ESSZONE meliputi 10 daerah di Sabah - Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

ESSZONE dilaporkan menjadi asas perundangan kepada Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), yang berkuat kuasa pada hari yang sama.