Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Semalam saya telah menyahut cabaran Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang mahu menentang saya dalam pilihan raya umum akan datang.

Padang Kota amat sesuai untuk dijadikan medan kerana ini adalah kawasan tradisi Teng di mana beliau menjadi ADUN Padang Kota selama tiga penggal.

Walaupun Teng kalah tipis dalam pilihan raya umum 2008 kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Teng pernah berkata:

"Pemimpin perlu bangkit dari tempat yang sama di mana mereka jatuh."

Memandangkan Teng secara terbuka mengisytiharkan betapa yakin dan beraninya untuk bertanding secara bersemuka dengan saya, saya bersedia untuk pergi ke kawasannya di Padang Kota.

Mari kita menjadikan pertandingan di Padang Kota bukan sebagai pertandingan tentang siapa yang boleh berbohong dengan lebih baik atau mengeluarkan ancaman ganas.

Tetapi jadikanlah pertandingan yang mulia tentang idea, aspirasi, prinsip dan dasar berjiwa rakyat untuk memutuskan sama ada Pakatan Rakyat atau BN mempunyai wawasan yang lebih baik untuk masa depan Pulau Pinang.

DAP dan Pakatan akan bersandar kepada rekod dan prestasi sejak lima tahun lepas berbanding prestasi BN lima tahun sebelumnya dan janji-janjinya yang tidak ditunaikan.

Bersih lebih baik dari korup

Pakatan menawarkan wawasan sebuah masyarakat yang bersatu padu dan berbilang kaum yang menghormati kepelbagaian, hak-hak asasi manusia dan masyarakat madani.

BN masih bergantung kepada dasar-dasar perkauman dan pelampau seperti dahulu, terutama dengan penyokong Umno dan PERKASA yang menyebarkan bahasa pembohongan, kebencian dan keganasan.

Pakatan percaya kepada perkongsian kekayaan dengan rakyat secara adil dan bukan dengan kroni.

Atas sebab itu, Pulau Pinang mencipta sejarah dengan melancarkan Agenda Ekonomi Saksama (AES) bernilai RM20 juta untuk menjadi negeri pertama di Malaysia yang membasmi kemiskinan dengan memastikan setiap keluarga miskin di Pulau Pinang mempunyai pendapatan minimum RM770 sebulan.

Mana-mana keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM770 sebulan, kerajaan negeri akan menambah perbezaan tersebut setiap bulan supaya cukup RM770.

Pakatan percaya dengan memberi peluang yang sama kepada semua anak-anak kita dan bukan hanya anak-anak bekas perdana menteri yang boleh menjadi salah seorang lelaki terkaya di Malaysia.

Demokrasi mana di dunia ini mempunyai seorang anak perdana menteri yang menjadi salah satu lelaki terkaya di negara, sedangkan kekayaan tersebut bukanlah diwariskan?

Sejak lima tahun lalu, Pakatan membuktikan bahawa kerajaan yang bersih boleh mentadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan yang korup.

Rekod pelaburan

Melalui urus tadbir CAT yang mementingkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan, mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95 peratus dan menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada muflis apabila RM230 juta dibazirkan.

Rekod pelaburan Pakatan dalam tempoh lima tahun lepas sejak 2008-12 sebanyak RM36.1 bilion jauh lebih menyinar berbanding prestasi lima tahun sebelumnya di bawah BN sebanyak RM18.7 bilion antara tahun 2003-07.

Paling penting sekali, Pakatan mengotakan janji-janji kami dan tidak segan mengakui kesilapan yang dibuat secara jujur.

Sebaliknya BN masih enggan untuk mempedulikan janji mereka yang dibuat pada tahun 2006 untuk membina monorel, atau sekurang-kurangnya meminta maaf kerana gagal untuk berbuat demikian.

Sebaliknya janji monorel ini dikitar semula sekali lagi untuk pilihan raya umum akan datang.

Pilihan raya umum yang akan datang adalah tentang masa depan Pulau Pinang jenis apa yang kita mahu anak cucu kita hadapi. Pakatan percaya dengan Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

Biarlah rakyat di Padang Kota dan Pulau Pinang membuat keputusan sama ada Pakatan mempunyai dasar dan keberanian untuk menyediakan sebuah masa depan untuk anak-anak kita, dan mempersiapkan anak muda kita untuk masa depan.


LIM GUAN ENG ketua menteri Pulau Pinang dan setiausaha agung DAP. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS