Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Dakwaan cetus huru-hara hanya fitnah Umno
Diterbitkan:  Mar 31, 2013 2:06 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli menafikan dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan mencetuskan huru-hara semasa pilihan raya untuk menakut-nakutkan para pengundi.

Laporan Sinar Harian menyebut, Rafizi menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah dalam perang psikologi Umno ke atas PKR.

"Mereka ada dua cara untuk serang PKR, dengan menyebarkan gambar-gambar lucah pemimpin PKR dan kononnya akan ada huru-hara untuk menakutkan rakyat.

"Saya rasa lawak dan nak gelak apabila ada cerita ini, macam permainan budak-budak," kata Rafizi.

Dakwaan mengenai kekacauan itu antara lainnya dibangkitkan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, yang mendakwa  mendakwa menemui risalah yang didakwa menyatakan strategi Pakatan untuk mencetuskan huru-hara semasa pilihan raya.

Yang dipertua pertubuhan itu, Datuk Adiwijaya Abdullah dalam laporan Mingguan Malaysia mendakwa risalah yang tertera lambang parti pembangkang menggariskan dua peringkat tindakan untuk mencetuskan kekecohan.

Peringkat pertama adalah kekecohan di tempat mengundi dan peringkat kedua melibatkan kekecohan pasukan media dalam talian yang akan menggunakan Twitter untuk menimbulkan kekecohan, lapor akhbar itu.

Dalam laporan muka hadapannya pula, akhbar milik Umno itu memetik dakwaan blog tanpa nama pengendali, The Unspinner, mengenai rancangan untuk mencetuskan huru-hara itu.

Laporan itu mendakwa, huru-hara itu dijangka diadakan seminggu sebelum pilihan raya.

"The Unspinners mendakwa pembangkang yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu akan masuk ke  taman perumahan atau kampung untuk 'mengajar' kaum ibu tentang kaedah mencalit dakwat di jari.

"Bila tiba hari mengundi, golongan ini akan dihalang daripada membuang undi kerana sudah ada kesan dakwat.

"Kalau dibenarkan juga, pembangkang akan membuat kecoh di pusat pembuangan undi. Jika mereka kalah, pembangkang akan gunakannya sebagai alasan untuk memberontak dan mempertikaikan keputusan pilihan raya," lapor itu dipetik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut mendakwa menemui risalah rancangan membuat kekacauan semasa pilihan raya.

Namun, semua pihak yang membuat dakwaan tersebut sehingga kini masih belum mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.

ADS