Manifesto Barisan Nasional (BN) yang menekankan aspek membina kecemerlangan pendidikan negara disifatkan sebagai pelaburan yang bijak oleh pelbagai pihak dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis negara yang berkualiti.
Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus berkata peruntukan khas untuk semua aliran sekolah adalah satu langkah yang dapat menaik taraf kemudahan serta keselesaan murid di sekolah.
"Selain itu, ia juga memenuhi Gagasan 1Malaysia kerana peruntukan itu diberikan sama rata kepada semua aliran dan pembinaan lebih banyak sekolah berdasarkan keperluan, yang mana dapat memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat luar bandar, khususnya untuk bersekolah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) Ong Chiow Chuen berkata masalah kekurangan guru dapat diatasi dengan penawaran laluan mudah kepada 420,000 guru untuk dinaikkan pangkat yang terkandung dalam manifesto BN.
"Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengalami kekurangan guru yang serius dan masih ramai lagi guru-guru sandaran yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru (IPG) pada satu masa dahulu. Dengan pengenalan rombakan institut perguruan serta menaikkan syarat pengambilan guru pelatih, sudah pasti dapat melahirkan lebih ramai guru yang berkualiti dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru khususnya di SJKC," katanya.
Ong bagaimanapun berharap BN dapat memberi penjelasan yang lebih terperinci mengenai cadangannya memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran mudah bagi bahasa kebangsaan di SJKC dan SJKT.
Menyentuh mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Ong berkata walaupun BN tidak menyatakannya dalam manifesto, beliau percaya BN mampu melakukannya.
Beliau tidak menafikan ia memerlukan masa untuk mengiktiraf peperiksaan itu, dan juga perlu melihat aspek penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar dan mengira jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan pada setiap tahun.
"Ini merupakan salah satu hasrat besar yang diharapkan oleh masyarakat Cina yang mempertahankan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan mereka bagi memberi
lebih ramai peluang kepada calon peperiksaan UEC melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berharap kerajaan dapat mengekalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah meskipun BN dalam manifestonya turut menekankan aspek memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris dan menjadikannya sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Tambahnya, usaha BN dalam menambah bilangan guru bahasa Inggeris perlu diteruskan bagi membantu penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid yang lemah.
- Bernama
