'Penggantian calon perlu dilakukan setiap p'raya'
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penggantian calon perlu dilakukan pada setiap pilihan raya bagi memberi peluang kepada muka baru untuk berkhidmat kepada parti.
Mengambil contoh parti Umno, beliau berkata tindakan memilih orang lama parti untuk bertanding akan menyebabkan ramai orang tidak akan menyertai parti itu.
"Ini menyebabkan Umno makin lama makin kecil atau diisi oleh orang-orang yang tidak berbakat," katanya dalam program 'Soal Jawab' yang disiarkan TV3 malam tadi.
Program itu dihoskan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A.Talib.
Dr Mahathir juga mengingatkan wakil-wakil rakyat BN yang tidak terpilih harus menyokong parti sebagai tanda membalas budi di atas peluang yang diberikan.
Katanya jika mereka tidak menerima keputusan itu, ia bermakna perjuanganmereka hanya terhad kepada diri sendiri dan bercanggah dengan prinsip perjuangan parti yang ditubuhkan untuk membela nasib rakyat.
Menurutnya lagi, penyandang kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak terpilih perlu menerima hakikat bahawa akan tiba masanya mereka perlu berundur.
"Kalau betul-betul sayang parti, mereka akan terima dengan fikiran terbuka malah harus sokong parti dan calon ganti itu. Kena ingat dulu mereka menang sebab orang-orang (penyokong) itu juga, jadi kena kembali menyokong calon baru,"
Mengimbas kembali tindakannya mengundurkan diri semasa berada di puncak, Dr Mahathir berkata ia perlu dilakukan agar tidak dibenci rakyat kerana terlalu lama memegang jawatan perdana menteri.
Menyentuh mengenai manifesto PRU13, beliau berkata manifesto pembangkang memperlihatkan mereka tidak faham kebenaran dan kenyataan berbanding manifesto BN yang dihasilkan daripada pengalaman mentadbir negara.
- Bernama

