Zahid Sahkan 35 pengganas Sulu ditembak mati tentera Filipina

       

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi hari ini mengesahkan laporan akhbar bahawa 35 orang pengganas Sulu ditembak mati oleh Tentera Laut Filipina di Pulau Sibutu, Filipina Sabtu lepas, yang merupakan hari penamaan calon bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

    

Berdasarkan siasatan dan maklumat risikan, kumpulan pengganas itu berhasrat untuk memasuki Sabah, dan mengadakan pencerobohan dan kekacauan menjelang PRU13 ini, katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di George Town hari ini.

    

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Filipina khususnya Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai Filipina yang telah memberi kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia, khususnya ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Pasukan Keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram, yang diketuai pemimpin kanannya Kalling Amirul, dalam pertempuran sengit di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lepas, ketika kumpulan itu merancang strategi untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi merencatkan proses PRU13.

    

Dalam pertempuran itu, dua anggota keselamatan Filipina terbunuh, dan pasukan keselamatan Filipina juga telah merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand.

Beliau juga memberi jaminan keselamatan pengundi di seluruh Malaysia, khususnya  yang berada di Sabah, terjamin dan mereka boleh menjalankan hak mereka dengan selamat pada 5 Mei ini.

    

Menyentuh mengenai kejadian letupan di Nibong Tebal Rabu lepas, Ahmad Zahid berkata mereka yang bertanggungjawab terhadap tindakan itu jangan melampaui batas, dan jangan cuba membawa "Arab Spring" ke Malaysia kerana Malaysia mempunyai acuan politiknya yang tersendiri.

    

"Kita tidak mahu diugut dengan bom, kita tidak mahu demokrasi diganggu-gugat. Kalau  mahu kerajaan yang dipilih rakyat secara bersih, lakukan kempen dengan cara bersih. Jangan  takut-takutkan calon lawan apabila sokongan rakyat beralih kepada kerajaan yang lebih kuat," katanya.

    

Selasa lepas, ceramah anjuran BN Nibong Tebal

 dicemari insiden letupan yang berlaku di belakang pentas  bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.

    

Kejadian kira-kira 10.15 malam itu menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan.

    

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda