Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: BN ada perancangan besar untuk Johor
Diterbitkan:  Apr 30, 2013 10:14 AM
Dikemaskini: 2:25 AM

Barisan Nasional (BN) mempunyai perancangan yang besar untuk Johor dan meminta penduduk negeri di selatan tanah air itu memberi mandat yang kuat kepadanya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dan Pengerusi BN itu berkata penduduk negeri Johor perlu membuat keputusan yang tepat pada hari pengundian 5 Mei ini kerana keputusan mereka mempunyai kesan yang mendalam terhadap masa depan negeri.

NONE "Kita (Barisan Nasional) ada wawasan dan perancangan besar untuk orang Johor. Buatlah keputusan yang tepat pada 5 Mei kerana ia mempunyai kesan terhadap masa depan Johor," kata beliau pada majlis ramah mesra di Kolej Universiti Selatan hari ini.

Beliau berkata keputusan yang salah pada 5 Mei ini bukan sahaja mengakibatkan momentum pembangunan pesat ekonomi yang dinikmati Johor ketika ini tersasar, tetapi ia juga akan mewujudkan budaya politik yang baharu di negeri ini.

Najib berkata penduduk Johor bakal berhadapan dengan budaya politik baharu jika pembangkang diberikan peluang bertapak di Johor pada pilihan raya umum kali ini, menyaksikan wujudnya budaya politik konfrontasi dan perpecahan.

"Tolong jangan buat keputusan yang salah," kata Najib sambil menambah bahawa adalah amat sukar untuk membetulkan sesuatu kesilapan yang telah dibuat walaupun dalam tempoh lima tahun.

Malah katanya, beliau tidak tahu sama ada kesilapan yang dibuat oleh pengundi pada 5 Mei itu dapat diperbetulkan.

Menurut Perdana Menteri, penduduk Johor mahu keharmonian dan kestabilan bagi membolehkan pembangunan pesat ekonomi yang dialaminya memberikan kemakmuran dan kekayaan kepada penduduknya.

Najib meminta penduduk Johor memilih parti politik yang dapat menjamin keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini apabila mereka membuat pilihan pada PRU13 ini.

Kejayaan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia menarik sehingga RM110 bilion pelaburan daripada dalam dan luar negara merupakan bukti jelas bahawa Johor kini merupakan destinasi ekonomi yang menarik, katanya.

Najib berkata Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan daripada Temasek dari Singapura, Kumpulan Genting serta terbaharu daripada "Raja Gula" dan orang terkaya Asia, Robert Kuok.

Minggu lepas, Kuok menerusi syarikatnya Kuok Brothers Group dengan kerjasama Khazanah Nasional telah membeli sebidang tanah di Puteri Harbour untuk membangunkan projek hartanah bernilai RM1 bilion.

Terdahulu Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dalam ucapannya berkata selain Iskandar Malaysia, selatan Johor juga akan mengalami pembangunan yang pesat dalam bidang minyak dan gas serta industri petrokimia.

Menerusi segala projek pembangunan yang sedang pesat berjalan, adalah jelas Johor katanya dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan melalui tempoh kemakmuran dan kekayaan.

Beliau yang akan bertanding sebagai calon di kerusi Parlimen Gelang Patah berkata, apa yang berlaku di Iskandar Malaysia merupakan sebahagian daripada perancangan Najib menerusi program transformasi ekonominya.

Malaysia di bawah pemerintahan Najib yang telah mengemudi ekonomi negara dengan cemerlang semasa suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada tahap 5.6 peratus pada tahun lepas.

- Bernama

ADS