Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) memperlihatkan cara berkempen oleh parti-parti politik yang lebih sengit dan kreatif melalui pengiklanan.

Walaupun ia bukan strategi baharu, penggunaannya dilihat begitu hebat pada pilihan raya umum kali ini dengan parti-parti politik kerajaan dan pembangkang berlumba-lumba mengoptimumkan kuasa pengiklanan untuk menjayakan kempen memancing undi untuk parti masing-masing.

Penyebaran mesej-mesej pada kempen PRU13 juga tidak terhad pada akhbar dan papan iklan di jalanan, tetapi juga melalui persembahan lagu dan klip video, pesanan ringkas di radio yang diterajui artis-artis popular.

Berlainan dengan PRU terdahulu yang lebih cenderung mempromosi calon dan parti bertanding, konsep yang digunapakai sekarang juga lebih berbentuk lembut serta bersahaja dan meliputi skop yang lebih besar, termasuk rekod kejayaan masing-masing.

"Pada pengamatan saya, iklan telah banyak digunakan sebagai 'senjata' kempen kali ini.

"Iklan, khasnya yang sangat bagus memang tidak boleh dinafikan mempunyai kekuasan yang tinggi sebagai ejen yang mampu mempengaruhi pendapat seseorang dalam membuat keputusan," kata Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim.

Beliau yang mengkhusus dalam bidang komunikasi dan pengajian media juga berpandangan, pengiklanan secara teknik lembut adalah lebih berkesan dalam menyampaikan mesej-mesej tertentu parti politik kepada pengundi berbanding pendekatan "hard sell".

Mengambil contoh penggunaan lagu dan muzik, katanya, artis-artis yang menyokong sesebuah parti itu akan meluahkan sokongan mereka melalui saluran tersebut.

"Dan jika diamati, kalau melodi lagu tersebut sedap, ia akan berkumandang dalam fikiran kita, dan ini saya percaya sedikit sebanyak memberi kesan kepada individu tersebut," katanya kepada Bernama.

Barisan Nasional dilihat banyak menggunakan platform media arus perdana untuk mengiklan dan membawa mesej-mesej kempen mereka kepada pengundi manakala parti pembangkang pula menggunakan laman online seperti Youtube.

"Internet menyediakan ruang tanpa had yang memberi inspirasi kepada kreativiti dan mampu menarik perhatian generasi muda dan minat mereka untuk mengundi pada pilihan raya umum," kata pensyarah kewartawanan dari Universiti Tunku Abdul Rahman kampus Kampar, Teh Boon Teck.

Seorang penggiat industri pengiklanan tempatan yang mahu dikenali sebagai Nor sahaja, bagaimanapun, berpendapat iklan-iklan PRU sama ada di media cetak mahupun elektronik dan online tidak akan memberi impak besar kepada penggundi.

"Ia tidak akan dapat mempengaruhi keputusan pengundi kerana kebanyakan mereka telahpun memutuskan untuk siapa mereka akan undi," kata beliau.

Sementara itu, seorang suri rumah Florance Gompin berkata kaedah pendekatan berkempen melalui lagu dan klip video di televisyen dan radio bukan sahaja menghiburkan tetapi juga telah memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai dasar-dasar kerajaan.

"Misalnya macam Barisan Nasional, mereka iklankan di akhbar statistik-statistik kejayaan di bawah NKRA.

"Ia dapat menyampaikan informasi dalam cara yang padat dan senang difahami dan ini memberi peluang kepada masyarakat menilai secara menyeluruh prestasi kerajaan itu," katanya.

- Bernama

ADS