Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz diharap beri 'sinar baharu' pada Kedah
Diterbitkan:  May 13, 2013 12:08 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP) berharap pelantikan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar sebagai pesuruhjaya PAS Kedah yang baru dapat memberi "sinar baharu" kepada Pakatan Rakyat di Kedah ekoran kekalahan mengejut pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Ketua Penerangan PAS WP Mohamad Suhaimi Abdul Aziz menyifatkan pelantikan Mahfuz itu wajar dan bijak memandangkan keadaan bekas menteri besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang uzur untuk memikul tanggungjawab sebagai pesuruhjaya.

"Dengan pengalaman, ketokohan serta kewibawaan Datuk Mahfuz Omar dapat melonjakkan sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat Kedah serta mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap PAS untuk memerintah kembali Kedah dalam pilihan raya umum ke-14," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Mohd Suhaimi berkata pihaknya yakin ahli parlimen Pokok Sena itu mampu melakukan "perubahan yang besar" dengan mengembalikan kemenangan kepada Pakatan di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Semalam dilaporkan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang memutuskan melantik Mahfuz sebagai pesuruhjaya PAS Kedah yang baru bagi menggantikan Azizan.

Pada pilihan raya umum minggu lalu, PAS dan Pakatan Rakyat negeri itu gagal mempertahankan kerajaan negeri itu apabila hanya menang 15 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan. Manakala BN pula menang 21 kerusi.

ADS