BERITA

NGO pertahan kenyataan kontroversi bekas hakim

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Mei 2013, 3:36 pagi

Sekumpulan NGO tampil mempertahankan bekas hakim mahkamah rayuan Mohd Noor Abdullah yang dikritik hebat pelbagai pihak ekoran kenyataan kontroversinya berhubung isu amaran "membalas dendam" orang Melayu jika dikhianati.

Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam kenyataannya mendakwa, laporan Malaysiakini berhubung perkara itu tidak tepat, berniat jahat dan bertujuan melaga-lagakan keharmonian dan perpaduan kaum.

Gabungan itu juga menggelar Malaysiakini sebagai "penceroboh" kerana tidak dijemput hadir ke wacana bedah siasat keputusan pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

"Kami menegaskan bahawa apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini berkaitan ucapan YAA Datuk Mohd Noor Abdullah berkenaan telah dimanipulasikan oleh wartawannya dan berita itu hanyalah segmen-segmen kecil yang dipilih-pilih berdasarkan ucapan penuh YAA Datuk Mohd Noor Abdullah yang berdurasi hampir 60 minit," kenyataan itu dipetik.

Malaysiakini pada 12 Mei melaporkan Mohd Noor sebagai menyeru orang Melayu bertindak lebih agresif mempertahankan hak serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan pilihan raya umum 5 Mei.

Mohd Noor menyeru demikian kerana orang Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

Beliau juga mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati ekoran ia sebahagian daripada pantang larang kaum itu.

Kenyataan yang dimuatkan dalam laman web rasmi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) baru-baru ini itu juga menjelaskan, ucapan Mohd Noor secara keseluruhannya berbentuk konstruktif mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, sesuai dengan pengalaman serta kepakarannya.

Beliau juga menghuraikan pelbagai perkara melibatkan perlembagaan, termasuk seruan berjihad memperkasakan perlembagaan, mekanisme lantikan perdana menteri, isu tanah rezab Melayu dan agihan kekayaan yang tidak seimbang Melayu-bukan Melayu, tambah kenyataan itu.

"Selepas menghuraikan kesemua peruntukan dan Fasal Perlembagaan Persekutuan ini, barulah beliau berpendapat bahawa hak-hak orang Melayu dan Bumiputera ini jangan dikhianati secara politik dan rampasan kuasa kerana orang Melayu akan sewajarnya mempertahankan hak-hak mereka seperti yang telah dijamin di dalam Perlembagaan," kenyataan itu dipetik.

Justeru, mereka mempersoalkan motif Malaysiakini menyiarkan "secara terpilih" kenyataan yang didakwa memberikan gambaran Mohd Noor bersikap rasis.

"Adakah seseorang itu menjadi rasis hanya kerana beliau menyatakan tentang sesuatu yang telah termaktub dalam Perlembagaan?

"Ataupun pihak yang menunggu peluang untuk merampas kuasa bagi meminda Perlembagaan itu yang bersifat rasis?" soal NGO itu lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.