Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah adalah antara muka baru yang dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam kerajaan ketika mengumumkan jemaah menteri dan timbalan menteri hari ini.
Abu Bakar, 54, yang dilantik Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersilan di Jabatan Ketua Menteri Melaka.
Beliau melepaskan jawatan itu yang disandang sejak 2010 untuk bertanding kerusi Parlimen Tangga Batu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang berakhir 5 Mei lepas.
Abu Bakar mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan inovasi berdasarkan jawatan yang dipegang sebelum ini, antaranya Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem).
Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia serta ijazah kedoktoran dalam bidang teknologi konkrit dari University of Dundee, Scotland, pernah menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia dari 1994 hingga 2003.
Selain menjalankan kajian dan menjadi pensyarah, Abu Bakar turut menghasilkan beberapa buku mengenai kejuruteraan konkrit serta produk satu daerah satu industri.
Bapa kepada tiga anak ini juga aktif dalam bidang politik dan merupakan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tangga Batu sejak 2003 dan juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno bahagian itu sejak 2004.
Dalam PRU13, Abu Bakar menang dengan majoriti undi 15,633 menewaskan Rahim Ali daripada PKR.
Sementara itu, Senator
Datuk Seri Idris Jala dilantik semula hari ini untuk menerajui Pemandu, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau akan terus mengetuai Pemandu (Unit Pengurusan dan Perlaksanaan), yang bertindak sebagai tulang belakang pelaksanaan yang antaranya, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan, yang kedua-duanya dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib membuat pengumuman barisan kabinet baharu, selepas Pilihan Raya Umum ke-13, di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Jala, 54, adalah lepasan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 1982 dengan Ijazah dalam Pengurusan.
Beliau memulakan kerjaya di Sarawak Shell Bhd sebagai pegawai perhubungan perindustrian dalam tahun yang sama, sebelum memperoleh Sarjana dari University of Warwick, United Kingdom pada 1986.
Dilahirkan di Bario, Sarawak, Jala berasal dari keturunan Kelabit dan mengukir kepimpinannya sendiri semasa berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di Shell Malaysia Ltd, sebelum dilantik menjadi ketua Malaysia Airlines pada 2005.
Beliau berkahwin dengan Datin Seri Pang Ngan Yue dan mempunyai dua orang anak lelaki.
Ketika dihubungi Bernama, beliau turut melahirkan rasa gembira di atas pelantikan semula itu dan berterima kasih kepada perdana menteri kerana keyakinan beliau terhadapnya untuk terus menerajui Pemandu.
Pemandu bertindak sebagai tulang belakang perlaksanaan program-program transformasi dan menetapkan petunjuk prestasi utama untuk para menteri dan timbalan menteri.
Jala berkata yang fokus berterusan ke atas program transformasi, antara lainnya, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), kedua-duanya dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ialah untuk memastikan yang Malaysia di landasan mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Azam saya ialah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan setakat ini. Fasa pertama ETP dan GTP telah dilaksanakan dengan baik dan keputusannya ada dalam laporan kami.
"Kita belum habis lagi. Fasa kedua telah dirancang dengan cara yang boleh memakmurkan Malaysia sehingga 2015," tambahnya.
Jala berkata Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan terus memacu Malaysia, ditambah dengan beberapa rancangan rangsangan yang akan diperkenalkan oleh Najib bagi melonjakkan bidang-bidang khusus.
- Bernama
