BERITA

Yazid Sufaat, pembantu didakwa anggotai Al-Qaeda

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Mei 2013, 10:31 pagi

Selepas dibebaskan Isnin lepas, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan pembantu kafeteria Muhammad Hilmi Hasim sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, kali ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

Yazid, 49, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan dicatat dan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan kes.

Sejurus selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan, Yazid mempertikai pertuduhan terhadapnya yang disifatkan 'pendakwaan dua kali' bagi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membantah tindakan Yazid namun peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya mempunyai hak untuk bersuara.

Mohamad Hanafiah kemudian memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh dua minggu.

Amer Hamzah, yang turut mewakili Muhammad Hilmi, pula memaklumkan terdapat pertindihan berhubung tarikh dan tempat dalam pertuduhan terhadap kedua-dua anak guamnya sebelum ini.

"Segala bantahan akan dikemukakan selepas kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Yazid dan Muhammad Hilmi serta Halimah Hussein daripada pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpuas hati terdapat merit dalam hujahan peguam berhubung isu pertuduhan dan pemakaian Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digubal mengikut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

-Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.