mk-logo
Berita
Safwan Anang dibebas dengan ikat jamin RM5 ribu

Aktivis mahasiswa Muhammad Safwan Anang hari ini dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM5,000, kata isterinya Mastura Abu Bakar.

Menurut Mastura, Safwan dijamin oleh adik lelakinya sendiri di mahkamah dekat Jalan Duta, pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Safwan yang juga pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dituduh bersama pemimpin politik dan aktivis NGO Naib presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim pada 29 Mei lalu.

Kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Mahkamah membenarkan keempat-empat individu tersebut diikat jamin RM5,000 setiap seorang. Bagaimanapun Safwan enggan diikat jamin dan dibawa ke penjara Sungai Buloh.

Ketika dihubungi Malaysiakini tengahari ini, Mastura berkata suaminya pada asalnya, enggan diikat jamin selepas dituduh di bawah akta tersebut.

Bagaimanapun, Mastura berkata, Safwan menukar fikirannya selepas mempertimbang peranan yang boleh dilakukannya di luar penjara sebagai aktivis mahasiswa.

"Beliau merasakan beliau boleh melakukan lebih banyak perkara di luar penjara berbanding di dalam penjara," kata Mastura.

Tambahnya lagi, Safwan kini sedang berehat sebentar di rumah mereka dan akan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya petang ini.

Menurutnya, Safwan bersama beberapa aktivis pelajar lain akan menyerahkan memorandum membantah penangkapan aktivis dan pemimpin politik oleh polis kepada kementerian itu.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS