Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau percaya nama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut berada dalam senarai hitam imigresen Sabah.
Nurul yang juga naib presiden PKR, telah dihalang oleh pegawai imigresen Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu malam tadi daripada masuk ke Sabah.
Katanya, beliau mengesyaki demikian dan menambah pegawai imigresen berkenaan tidak menjawab soalannya.
"Tetapi saya faham mereka mengikut arahan," kata Nurul dalam satu sidang akhbar hari ini.
Daripada apa yang beliau difahamkan, Nurul berkata, nama Anwar juga termasuk dalam senarai hitam tersebut, begitu juga dengan Lim Kit Siang.
Nurul - yang dilaporkan dihalang atas arahan Ketua Menteri Sabah,
Datuk Musa Aman (kiri) - berkata beliau telah dimaklumkan bahawa satu senarai "aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat" juga akan dilarang ke Sabah, walaupun pegawai berkenaan enggan menamakan sesiapa.
Oleh itu, Nurul yang ke Sabah untuk meraikan Kaamatan, akan menulis surat kepada Pejabat Ketua Menteri secara rasmi untuk mengadu dan meminta supaya senarai itu diumumkan.
Rakyat, katanya mempunyai hak untuk mengetahui siapa yang membahayakan Sabah.
Nurul berkata beliau disekat masuk ke Sabah di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63.
Beliau juga akan mencabar keputusan menghalangnya itu di mahkamah, dan sepasukan peguam yang diketuai oleh Ahli Parlimen PKR Penampang, Darell Leiking sedang meneliti perkara itu.
Beliau berkata kes itu akan difailkan di Kota Kinabalu, sebaik sahaja pasukan peguam itu sudah bersedia.
[Baca berita penuh]
