Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Puad: Tiada yang layak ganti Najib, Muhyiddin

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tersebut, yang dijangka akan diadakan menjelang hujung tahun ini.

Mohd Puad dalam satu laporan Berita Harian berkata, beliau tidak melihat pemimpin lain yang layak menggantikan gandingan presiden Datuk Seri Najib Razak dan timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada waktu ini.

“Secara peribadi saya tidak nampak siapa yang berpotensi berada di kerusi mereka,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Selain itu, beliau melihat bahawa Umno lebih kuat bawah gandingan pemimpin berkenaan dan mampu meningkatkan jumlah kerusi yang dikuasai dalam pilihan raya umum lalu – dari 79 kerusi pada 2008 kepada 88 kerusi.

Sekalipun begitu, kerusi Parlimen yang diperolehi BN merosot kepada 133 kerusi Parlimen – kurang tujuh kerusi (140) daripada pilihan raya umum tahun 2008.

Manakala Pakatan Rakyat memperolehi 89 kerusi Parlimen berbanding dengan 82 pada 2008.

Berikutan itu, sepertimana 2008, BN juga gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Najib pada hujung bulan lalu berkata beliau tidak tahu sekiranya berdepan cabaran dalam pemilihan kali ini.

"Anda semua tahu Umno adalah parti yang demokratik.

"Jadi saya tidak tahu (sama ada akan dicabar).

"Kita perlu terima Umno adalah parti yang terbuka – tidak seperti parti-parti lain," kata Najib.