Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Mirzan Mahathir tidak miliki saham Petron Malaysia

Bernama

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) hari ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang Mirzan Mahathir tidak memiliki sebarang saham ataupun beliau mempunyai peranan dalam syarikat.

    

Petron Malaysia membuat kenyataan itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan daripada seorang pemegang saham di mesyuarat agung tahunan berhubung pegangan saham Mirzan dalam Petron Malaysia dan syarikat induk, Petron Corporation, dan syarikat pegangan, San Miguel Corporation.

    

Syarikat itu mengesahkan yang Mirzan ialah ahli lembaga syarikat induknya, Petron Corporation Filipina.

    

Beliau telah dipilih sebagai pengarah Petron Corporation pada 13 Ogos 2010 dan memegang 1,000 saham,

    

Di bawah undang-undang kecil syarikat, seseorang itu harus menjadi pemegang saham untuk layak sebagai Pengarah.

    

Petron Corporation mempunyai 9.4 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

    

Sebelum memegang jawatan pengarah dalam Petron Corporation, syarikat berkata yang Mirzan ialah pengarah San Miguel Corporation untuk tempoh singkat dari 1 September 2009 sehingga 15 April 2010.

    

Beliau masa ini menguasai 5,000 saham San Miguel. San Miguel Corporation mempunyai sejumlah 3.3 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

"Kami berharap yang fakta ini akan mengakhiri segala spekulasi yang berkaitan Mirzan, yang sememangnya tidak adil untuk keluarga Dr Mahathir.

    

"Saham yang dipegang Mirzan dalam San Miguel Corporation dan Petron Corporation sememangnya saham yang melayakkan untuk jawatan pengarah," kata pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, Ramon S Ang dalam satu kenyataan.

    

"San Miguel, Petron Corporation dan Petron Malaysia ialah syarikat penyenaraian awam, yang patuh kepada standard ketat tadbir urus," tambah Ang.

- Bernama