Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata siri drama TV yang diadaptasi dari novel kontroversi Interlok tidak akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat kerana tidak lagi mengandungi perkataan tertentu yang dipetikai.
Menurutnya, tidak semestinya keseluruhan buku berkenaan akan dimuatkan dalam adaptasi berkenaan, yang mendapat perhatian kementeriannya.
“Apabila buku diterjemah dalam bentuk drama atau filem, tak semestinya segala-gala yang (kandungan buku) akan dikeluarkan. Isunya (adalah) perkataan tertentu yang (dipertikai), bukan jalan cerita. bukan temanya.
“Saya akan perhatikan balik sejauh mana ia akan timbulkan keresahan tapi tak ada masalah setakat ini,” katanya ketika ditanya pemberita hari ini.
Novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain mencetus kontroversi apabila diperkenal sebagai teks komponen sastera Bahasa Melayu untuk pelajar Tingkatan Lima.
Beberapa istilah dan petikan dalam novel berkenaan, yang didakwa menyinggung perasaan masyarakat India kemudiannya dipinda, dan novel berkenaan kemudiannya dikeluarkan terus daripada sukatan pelajaran.
