Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustafa Ali: MP PAS akan hadir sidang Parlimen
Diterbitkan:  Jun 10, 2013 1:09 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

PAS menolak gesaan beberapa NGO yang mahu ahli parlimen Pakatan Rakyat memulaukan sidang Parlimen yang akan bermula pada 24 Jun ini.

Setiausaha agung parti itu Datuk Mustafa Ali berkata, MP PAS akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa, kecuali taklimat Parlimen, esok.

Mustafa dalam satu laporan Sinar Harian berkata, tindakan itu selari dengan keputusan mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sebelum ini.

pas mustafa ali 070413 01 "Dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan baru-baru ini, kita telah putuskan untuk tidak menghadiri taklimat Parlimen. Pendirian PAS adalah berdasarkan keputusan ini.

"Semua MP PAS akan tetap menghadiri sidang Dewan Rakyat seperti biasa. Tidak mungkin kita akan boikot Parlimen, hanya taklimat saja kita tidak pergi," katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Katanya lagi, sesi taklimat itu hanya untuk memperkenalkan muka baru dan bukannya sebahagian daripada sidang Dewan Rakyat.

Kumpulan NGO yang meragui ketelusan pilihan raya umum hari ini sekali lagi menggesa MP Pakatan Rakyat memulaukan majlis angkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat pada 24 Jun itu.

Jurucakapnya Badrul Hisham Shaharin berkata, wakil rakyat terbabit masih boleh mengangkat sumpah pada hari lain.

Kumpulan itu pada 6 Jun lalu mengumumkan akan memulakan kempen pemulauan majlis angkat sumpah dan menyerahkan memorandum kepada pemimpin politik berkaitan supaya mengambil langkah itu pada minggu itu juga.

ADS