Mustafa Ali: Penyertaan PSM ditolak sebelum p'raya
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk menolak penyertaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke dalam gabungan parti berkenaan sejak sebelum pilihan raya umum ke-13.
Mustafa dalam satu laporan
The Star Online
berkata keputusan itu antaranya dibuat berdasarkan logo genggaman tangan parti PAS, yang didakwa kurang disenangi oleh kalangan pemimpin Pakatan.
"Ia telah diputuskan dalam mesyuarat sebelum pilihan raya umum ke-13 bahawa kita akan kekal mesra tetapi PSM telah ditolak sebagai ahli Pakatan," katanya.
Laporan sama turut memetik kenyataan setiausaha eksekutif Pakatan, Ahmad Shabrimi Sidek, bahawa gabungan itu "masih belum membuat keputusan" berhubung permohonan PSM.
Menurutnya, Pakatan mungkin akan membincangkan tentang perkara itu dalam mesyuarat presiden bulan depan.
Ahmad Shabrimi juga berkata, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dalam kenyataannya Ahad lalu mungkin tersilap dan salah faham memandangkan terdapat banyak mesyuarat yang dilakukan sebelum pilihan raya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula menduga, Pakatan mungkin memutuskan untuk menolak penyertaan PSM untuk mengelakkan masalah agihan kerusi.
"Bagi PAS, bukan apa. Kalau lagi ramai (parti sertai Pakatan), akan timbul masalah agihan kerusi. Kena faham yang PAS, PKR, DAP dah lama bertanding di kawasan tertentu yang dah terbina kekuatannya.
"Kalau ada parti baru nak masuk, dia pun nak kerusi, akan timbul masalah. Itu mungkin diantara sebab kenapa kita tak layani permohonan PSM (untuk serta Pakatan).
"Maka PKR pula benarkan simbol mereka digunakan (semasa pilihan raya)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

