Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk dedahkan siapa pihak yang mendalangi kes di Lahad Datu, Sabah sekiranya ia tidak menjejaskan operasi membasmi pengganas di kawasan tersebut.

NONE "Agensi-agensi risikan sedang dan telah memantau secara dekat... Yang penting sekarang ialah untuk mencari cara dan pendedahan yang baik. Yang penting sekarang pada Sabah ialah keselamatan dan kestabilan.

"Maklumat yang kita terima, kalau digunakan secara bijak dan tak jejaskan operasi dan perancangan pada masa akan datang, saya rasa tak ada sebab untuk kita tak dedahkan pada orang ramai," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita mengenai status tiga pemimpin pembangkang yang didakwa menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu.

NONE Pada 26 April lalu, bekas menteri pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ( kiri ) berkata, kementerian itu telah mengenal pasti tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden di Lahad Datu.

Zahid berkata, segala maklumat dan butir-butir mengenai dalang tersebut akan diserahkan kepada pejabat peguam negara untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Zahid, dua daripada pemimpin pembangkang itu dari Semenanjung manakala seorang dari Sabah.

Bagaimanapun, Zahid pada 21 Mei lalu berkata tidak akan mendedahkan nama tiga pemimpin pembangkang tersebut bagi mengelakkan prejudis apabila kes itu dibawa ke mahkamah.

Sehubungan itu, Hishamuddin berkata, sebelum ia didedahkan kepada orang ramai, kerjasama daripada agensi risikan di peringkat antarabangsa, Interpol serta pihak risikan di Filipina perlu diambil kira.

"Ini memerlukan kerjasama daripada agensi-agensi risikan termasuk agensi risikan di peringkat antarabangsa, serantau, di peringkat Aseanapol, Interpol dan pihak risikan Filipina. Itu semua mesti diambil kira sebelum kita dedahkan apa jua maklumat yang ada pada kita," katanya lagi.

ADS