Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Bebas bersuara harus sepadan jati diri M'sia
Diterbitkan:  Jun 13, 2013 9:42 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Kebebasan bersuara harus sesuai dan sepadan dengan identiti jati diri Malaysia yang sinonim dengan sifat budi bahasa dan nilai-nilai murni, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata dengan cara itu, kebebasan menyuarakan pelbagai pendapat berbeza dapat dilakukan secara bijaksana serta dapat menghakis rasa tidak percaya dan perasaan syak wasangka yang melampau.

"Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahupun menyalahgunakan kuasa," katanya ketika berucap pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013 di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata tuntutan kebebasan bersuara di negara ini bukan sahaja berpunca daripada kesan globalisasi, tetapi dirangsang oleh akses kepada kemudahan infrastruktur internet, peningkatan taraf sosioekonomi dan tahap pendidikan.

Tegas Perdana Menteri, rakyat harus mahu dan mampu memanfaatkan kebebasan bersuara dengan menyalurkan maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan.

"Kebebasan bersuara yang berpaksikan jati diri Malaysia akan menghadirkan semula perkongsian dialog-dialog penting di antara pelbagai kumpulan yang ada walaupun berbeza pendapat," katanya.

Najib dalam pada itu berkata landskap media dan organisasi berita di negara ini telah mengalami perubahan yang amat pesat dengan kehadiran media dalam talian melengkapi media cetak dan media elektronik sedia ada.

Tambahnya, kerap kali wujud penulis 'anonymous' (tanpa nama) di media sosial yang mengambil peluang menyebar maklumat berunsur fitnah yang boleh merosakkan keharmonian negara, berbeza dengan media arus perdana yang berpegang kepada etika kewartawanan.

Justeru, katanya dalam memastikan perjalanan media sosial tidak terus disalah guna, rakyat harus berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.

"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial untuk mencadangkan apakah bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu, dan maklumat yang disampaikan tidak melangggar undang-undang."

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS