Kira-kira 1,000 penduduk Pangsapuri Indahria di Seksyen 22, Batu Tiga di Shah Alam bimbang tragedi Highland Tower yang runtuh menyembah bumi 20 tahun lepas berulang, sekiranya masalah tanah mendap di kediaman mereka terus berpanjangan.
Wakil penduduk dan Anggota Jawatankuasa Majlis Tindakan Bencana Indahria Aimanudin Kamarudin berkata penduduk bagaikan sudah putus harapan apabila masih tiada sebarang jaminan daripada pihak berkuasa terutamanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenai keadaan mendapan di pangsapuri itu.
"Bagi kami keadaan semakin hari semakin buruk, mendapan tanah dan keretakan terus berlaku, dan sehingga hari ini tiada satu pihak pun yang berani memberikan jaminan keselamatan kepada kami walaupun masalah ini telah diajukan kepada mereka yang berkenaan," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata struktur di bawah bangunan juga semakin teruk apabila hakisan tanah berlaku selain retakan pada bahagian cerucuk yang menyokong binaan pangsapuri berkenaan.
Aimanudin berkata penduduk berharap perkara ini mendapat perhatian Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam membuat keputusan segera bagi menangani masalah itu.
"Jangan sampai sudah runtuh, meragut nyawa baru mahu hulur bantuan, ketika itu semuanya sudah terlambat dan tidak berguna lagi," katanya.
Januari lepas, persatuan penduduk pangsapuri itu turut merayu Abdul Khalid campur tangan dan membantu menyelesaikan masalah tanah mendap di kediaman mereka yang didakwa semakin mengancam keselamatan.
Dalam sidang media pada 30 Januari lepas, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu, Ariffuniza Korainiapa berkata sebulan selepas pemaju menyerahkan kunci kepada penduduk pada Mac 2009, keretakan dikesan berlaku di kawasan parkir dan walaupun pemaju ada melakukan kerja pembaikan, kejadian sama berulang pada 2010 dan 2011 sehingga ke hari ini.
Ariffuniza berkata penduduk mahu menteri besar mengarahkan MBSA melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) sebagai perunding geoteknologi bagi menjalankan pemeriksaan terhadap struktur bangunan dan kawasan pangsapuri itu bagi mengetahui keadaan sebenar mendapan tanah yang berlaku.
Seorang lagi penduduk, Mohd Johar Mohd Mokhtar berkata 20 keluarga telah berpindah dari pangsapuri itu ekoran bimbang dengan keadaan mendapan tanah yang terus terjadi terutama setiap kali berlaku gegaran termasuk ketika kenderaan berat melalui kawasan kediaman terbabit.
"Bukan semua mampu ambil tindakan berpindah, mungkin boleh bagi mereka yang menyewa tapi kami yang memang beli rumah ini dan tidak ada rumah lain tetap terpaksa tinggal di sini walaupun ia seolah-olah memperjudikan nasib," katanya yang sudah empat tahun menetap di situ.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA Shahrin Ahmad ketika dihubungi berkata pihak MBSA telah melantik Ikram bagi melaksanakan kerja pemantauan dan pengawasan pergerakan tanah serta struktur bangunan pangsapuri berkenaan.
Menurutnya, tindakan lanjut akan dibuat selepas mendapat makluman daripada Ikram.
- Bernama
