Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

K'jaan S'gor sumbang RM10,000 pada balu PI Bala

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan Selangor hari ini memberi sumbangan RM10,000 kepada balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam, A Santamilselvi, 46, bagi meringankan perbelanjaan selepas kematian suaminya pada 15 Mac lalu.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail berkata kerajaan Selangor juga berjanji akan membantu Santamilselvi menyekolahkan tiga anaknya yang berumur 11 hingga 16 tahun yang sudah dua bulan tidak bersekolah sejak tiba di Malaysia dari India sejak Mac lalu.

NONE Selain itu, Rodziah juga berkata pihaknya turut akan membantu menyediakan tempat dan modal kepada balu mendiang untuk membuka kedai makan.

"(Ini) sumbangan RM10,000 dari kerajaan Selangor. Kita akan buat apa yang perlu, yang boleh membantu ringankan beban balu mendiang seperti (memberikan) skim-skim yang disediakan oleh kerajaan Selangor.

"Memandangkan keluarga mendiang dah duduk di India selama lima tahun dan tak dapat mengikuti pendidikan di sini, kita akan sediakan alternatif yang terbaik untuk anak-anak Bala.

NONE "Selain sumbangan, kita juga akan pastikan beliau akan dapat pendapatan bulanan berterusan. Dan kita akan bantu untuk bincang dengan pihak berkuasa tempatan tentang modal dan tempat untuk bantuan memulakan perniagaan," katanya.

Rodziah yang juga ADUN Batu Tiga berkata demikian dalam sidang media ketika membuat lawatan ke rumah balu mendiang Bala di Rawang hari ini.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dan ADUN Rawang Gan Pei Nei.

Pada 15 Mac lalu, Bala meninggal dunia selepas disahkan akibat serangan jantung.

Beliau memainkan peranan dalam dua akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu - yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi politik.

Kematian Bala secara tiba-tiba itu mengejutkan banyak pihak kerana beliau pada ketika itu baru sahaja pulang dari India.

Sementara itu, Selvi yang kini tidak bekerja selepas pulang dari India tidak dapat menahan sebak ketika diminta mengulas bantuan yang diberikan kerajaan Selangor itu.

"Saya ucapkan terima kasih pada kerajaan Selangor," katanya yang kemudiannya mengalirkan air mata dan ditenangkan oleh Rodziah.