Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JKP turunkan rasuk tergantung di Menara Umno

Pemilik bangunan Menara Umno, JKP Sdn Bhd (JKP) akan mengalihkan sisa rasuk yang masih tergantung di bangunan itu hari ini bagi membolehkan kerja pembersihan jalan di kawasan bangunan itu.

Lewat petang semalam, sebuah penebat kilat sepanjang 20 meter yang terletak di atas bangunan menara itu di Jalan Macalister di Georgetown runtuh akibat angin kencang mengakibatkan jalan rosak selain menghempap beberapa kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif JKP Adzmi Ariffin berkata pihaknya telah menyewa sebuah kren untuk tujuan itu dan meminta semua pihak bersabar sehingga kerja-kerja mengalih rasuk itu selesai.

Adzmi berkata bangunan 21 tingkat itu yang siap dibina pada 1997 dan dibeli daripada Amanah Capital Bhd pada 2005 itu kukuh kerana kerja penyelenggaraan dilakukan secara berkala dan menyifatkan insiden runtuhan itu sebagai bencana alam.

Bangunan itu yang menempatkan pejabat, syarikat dan kolej swasta dijadual beroperasi seperti biasa pada Isnin ini kerana bahagian yang terjejas hanyalah penebat kilat itu sahaja, katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerja pembersihan akan hanya dijalankan selepas kerja mengalih rasuk itu selesai dan jalan terlibat sepanjang satu kilometer masih ditutup kepada orang awam sebagai langkah keselamatan.

Beliau turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terjejas dalam kejadian ribut yang melanda 21 lokasi di seluruh negeri itu semalam.

"Kerajaan negeri akan menghulur bantuan kepada rumah terjejas akibat dipukul ribut. Beberapa batang jalan terpaksa ditutup sementara waktu kerana banyak pokok dan tiang lampu tumbang," katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan penduduk sekitar Datuk Keramat, Kampung Jawa, Komtar dan Jalan Anson, di Georgetown, mengalami gangguan bekalan air kerana paip bawah tanah pecah.

Petugas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Indah Water Konsortium, Majlis Perbadanan Pulau Pinang (MPPP) dan Jabatan Kerja Raya sedang memantau keadaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS