Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang menghina institusi Raja-Raja Melayu.
Presidennya Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, PPKM juga tidak akan berdiam diri dan akan menentang siapa jua yang melakukan perbuatan itu.
Berucap pada persidangan perwakilan tahunan PPKM kali ke-26 yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Kangar malam tadi, beliau turut mendesak kerajaan menggubal undang-undang yang lebih khusus bagi menghukum pihak yang melakukan penghinaan itu.
Beliau juga berharap laman sosial tidak dipergunakan sewenang-wenangnya untuk menghina institusi raja atau mewujudkan keresahan kaum.
"PPKM tidak nafikan hak kebebasan bersuara tapi tak boleh secara melampau sehingga menyentuh sensitiviti kaum," katanya.
Wan Mahmood berkata, golongan pesara kerajaan perlu sentiasa menyumbang kepada pembangunan negara dan menyertai PPKM adalah antara landasan untuk mereka memberi sumbangan idea.
Pesara kerajaan tidak seharusnya menjadikan zaman persaraan untuk berehat kerana pengalaman dan pemikiran mereka sentiasa diperlukan, katanya.
Sementara itu, lebih 500 perwakilan dan pemerhati menyertai persidangan selama tiga hari itu yang berlangsung sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis yang ke-70.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
-Bernama
