Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambulans lewat tiba kerana gangguan telefon di hospital

Kelewatan ambulans untuk sampai ke tempat kejadian runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di George Town berikutan angin kencang Khamis lepas adalah disebabkan talian telefon di Hospital Pulau Pinang (HPP) mengalami gangguan.

    

Timbalan menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata perkara itu dimaklumkan HPP selepas beliau pergi ke hospital itu Jumaat lalu untuk mengetahui perkara sebenar yang menyebabkan ambulans mengambil masa sehingga 45 minit untuk sampai ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

    

Insiden yang berlaku jam 6.45 petang itu turut menyebabkan Jahir Sulaiman, 46, maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat berkenaan.

    

"Pihak HPP memaklumkan mereka tidak menerima panggilan kerana menghadapi gangguan talian telefon. Kejadian itu hanya diketahui selepas salah seorang petugas mendapat panggilan melalui telefon bimbitnya," katanya ketika mengulas kelewatan ambulans tiba di tempat kejadian.

    

Bagaimanapun, katanya, gangguan talian telefon di HPP pulih sepenuhnya pada sebelah malam.

        

Dalam kejadian 6.45 petang Khamis lalu, lori yang dinaiki Jahir Sulaiman dihempap penebat kilat yang jatuh dari atas bangunan Menara Umno di Jalan Macalister akibat angin kencang, mangsa cedera parah di kepala manakala pemandu lori itu cedera ringan.

    

Jahir yang berasal dari Chennai, India disahkan meninggal dunia sebaik tiba di HPP. Dia meninggalkan seorang isteri, Siti Thaj Nisa, 42, dan dua anak perempuan, Benazir, 19, dan Femina, 8.

    

Sementara itu, Dr Hilmi yang mewakili Umno Pulau Pinang mahu JKP Sdn Bhd  selaku pemilik bangunan Menara Umno menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan.

    

"Kita mahu JKP (Sdn Bhd) jalankan siasatan segera bagaimana penebat kilat itu boleh runtuh," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS