Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sekumpulan peniaga Medan Selera Bukit Angkasa, Pantai Dalam melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung masalah yang melanda tempat makan itu antaranya ketiadaan papan tanda serta kawasan parkir.

Dalam sesi dialog bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan cawangan Bangsar, Abu Seman Lias berkata, masalah itu menyebabkan mereka tiada pelanggan.

NONE Menurut Abu Seman lagi, selain masalah papan tanda, ketiadaan jalan masuk menuju ke medan selera itu serta tiada kawasan parkir turut menjadi masalah dan penyebab perniagaan mereka terjejas.

"Kita minta supaya YB (Yang Berhormat) dapat selesaikan masalah penjaja medan selera di sini.

"Kita sudah hantar surat pada DBKL tapi tak ada balasan. Kita juga beri cadangan supaya kawasan depan medan selera ini dijadikan kawasan futsal. Nanti boleh tarik ramai pelanggan datang ke medan selera ini, tapi ditolak DBKL," katanya dalam sesi dialog di medan selera itu semalam.

Pada 2008, seramai 58 peniaga di Kampung Kerinchi dipindahkan ke Medan Selera Bukit Angkasa.

Bagaimanapun, Abu Seman berkata, sehingga hari ini, masalah kemudahan asas serta masalah-masalah lain tidak diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab.

NONE Selain itu, Abu Seman turut berkata, daripada 88 buah gerai yang ada di medan selera itu, hanya ada kira-kira 40 peniaga sahaja yang masih bertahan dan yang lain sudah "gulung tikar".

Sementara itu, Nurul Izzah berkata, selaku wakil rakyat di kawasan itu, beliau akan cuba membawa perkara itu kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya lagi, beliau juga turut akan membawa isu itu semasa dalam satu dialog bersama DBKL serta UOA Holdings Sdn Bhd - pemilik asal tanah medan selera tersebut - yang akan diadakan pada 21 Jun depan.

"Kita akan cuba beri tekanan mengenai perkara ini. Kita pohon kerjasama diberikan oleh mereka kerana kawasan ini masih di bawah DBKL dan menteri Wilayah. Bagaimanapun tanah ini milik UOA yang diberi lesen sementara kepada DBKL.

"Saya juga akan bawa isu ini dalam dialog bersama DBKL dan UOA Jumaat depan," katanya lagi.

ADS