Most Read
Most Commented
Read more like this

Sidang Dewan Rakyat hari ini membangkitkan isu peruntukan kewangan bagi tujuan ubahsuai dan menaikkan taraf sekolah-sekolah tidak mencukupi. Kebanyakan ahli dewan berpendapat usaha-usaha Kementerian Pendidikan amatlah perlu bagi menampung peruntukan kewangan terutamanya sekolah-sekolah di luar bandar.

Datuk Haji Mohamad Aziz, Ahli Parlimen Sri Gading (BN), mendakwa bahawa bantuan perkapita berdasarkan jumlah murid tidak berubah sejak 10 tahun lalu.

"Terdapat sekolah-sekolah yang tidak mampu membeli kertas dan kipas angin," kata Mohamad.

Bilik guru sempit, hangat dan perabot-perabot juga tidak sesuai, jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian (PAS), Husam Musa, sambil merujuk Laporan Abdul Rahman Arshad. Beliau memberitahu sidang dewan bahawa masih terdapat kekurangan bekalan elektrik dan air yang bersih.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim, memberitahu sidang bahawa kerajaan cuba sedaya upaya memberikan peruntukan yang cukup kepada pihak sekolah.

Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia ke-7, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM85 juta, manakala RM24 juta peruntukan bagi tahun 1999 untuk semua jenis sekolah termasuklah sekolah Tamil, sekolah Cina dan sekolah agama rakyat.

"Kalau nak kira cukup atau tidak peruntukan yang diberikan oleh kerajaan, sememangnya tidak cukup," jelas Hon lagi.

Beliau menjelaskan sokongan pelbagai pihak termasuk masyarakat amatlah perlu kerana kerajaan juga menimbangkan sejumlah peruntukan bagi bidang-bidang yang lain seperti kesihatan dan pembangunan luar bandar. Tambah Hon lagi, kerajaan pusat mengagihkan peruntukan sedemikian kerana tidak mahu dilihat sebagai hanya menjaga soal pendidikan semata-mata.

Bagi menjawab pertanyaan ahli dari Kota Melaka (DAP), Kerk Kim Hock, berhubung perbezaan bantuan penuh dan bantuan separuh kepada sekolah-sekolah rendah dan menengah, Hon menjelaskan kategori itu wujud kerana tapak pembinaan sekolah tersebut tidak dimiliki oleh pihak sekolah tetapi milik perseorangan atau lembaga.

"Sebanyak 23 daripada 1,284 sekolah kebangsaan Cina yang ada bukan tanah milik kerajaan dan mereka termasuk dalam katogeri ini (Bantuan Separuh). Oleh itu, harap pembangkang jangan cuba putarbelitkan kenyataan ini," kata Hon.

Bagaimanapun, Kerk tidak bersetuju apabila kerajaan memaklumkan kepada sidang dewan dalam usul yang lalu bahawa peruntukan untuk sekolah-sekolah Cina adalah mencukupi.

Suasana dewan juga hangat apabila Kerk tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri Pendidikan itu berhubung perbezaan bantuan modal yang telah dikatogerikan itu. Beliau berhujah, perbezaan katogeri ini tidak terdapat dalam Akta Pendidikan 1996.

"Peruntukan perlu disalurkan kepada semua sekolah (pelbagai aliran). Jangan sempitkan pendidikan kepada politik dan kaum," kata anggota Bukit Mertajam (DAP), Chong Eng, yang membawa masalah sebuah sekolah Cina di Balik Pulau yang berada dalam keadaan bahaya apabila dilanda banjir.

Beliau juga berpendapat sekolah Cina tidak harus dianaktirikan kerana penguasaan bahasa Cina juga penting dalam persaingan pasaran yang semakin besar dari negara China dan Taiwan. Ini terbukti apabila 60,000 pelajar Melayu bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina.

Sementara itu, Mohamad Aziz berharap bantuan dalam bidang sukan dapat disalurkan kepada majlis-majlis sukan daerah dan negeri bagi menampung perbelanjaan yang besar dalam bidang tersebut.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS