Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: Timbang fatwa tak wajib solat Jumaat
Diterbitkan:  Jun 24, 2013 10:33 AM
Dikemaskini: 6:33 AM

Mufti-mufti di negeri yang mengalami masalah jerebu serius digesa mempertimbangkan fatwa tidak mewajibkan solat Jumaat seperti dilaksanakan di Singapura.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pensyarah terkenal Dr Maszlee Malik berkata, ini kerana fatwa Singapura itu menepati sunah seorang sahabat Ibn Abbas.

Kata mereka lagi, Ibn Abas pernah menyuruh penduduk Madinah bersolat di rumah pada hari Jumaat kerana hujan lebat.

NONE "Di dalam kes jerebu yang melibatkan kesihatan, maka lebih utama untuk kaum Muslimin tidak memberatkan diri untuk menghadiri solat Jumaat," kata mereka dalam kenyataan bersama kepada Malaysiakini semalam.

Mereka juga menggesa agar pihak berkuasa agama negeri-negeri yang terlibat serius dengan masalah jerebu agar mengadakan solat istisqa (solat meminta hujan) di setiap peringkat.

Pejabat Mufti Singapura mengeluarkan fatwa bahawa penganut Islam di republik itu tidak perlu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat berikutan masalah jerebu yang semakin serius, lapor AFP.

Ini kerana jerebu memberi kesan negatif kepada kesihatan dan mungkin boleh mengancam nyawa, kata pejabat Mufti Singapura.

Orang ramai dinasihatkan menunaikan solat Zohor di rumah atau di mana-mana sahaja. Berdasarkan data 2012, umat Islam Singapura mewakili kira-kira 13 peratus populasi keseluruhan negara itu.

Indeks jerebu Singapura sebelum ini mencatat tahap kritikal iaitu 401 yang mampu mengancam nyawa pihak yang mengalami masalah kesihatan dan warga emas sekiranya keadaan itu kekal selama 24 jam.

ADS