BERITA

Azalina akan cabar Shahrizat untuk jawatan Ketua Wanita

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jul 2013, 6:38 pagi

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bakal menerima tentangan dari bekas ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said dalam pemilihan untuk jawatan tertinggi dalam sayap tersebut pada hujung tahun ini.

Laporan The Star hari ini menyebut, Azalina telahpun membuat keputusan untuk bertanding menentang Shahrizat, yang berazam untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Shahrizat, 50, berkata beliau percaya anggota Wanita Umno tidak akan menyisihkannya kali ini.

Katanya, penyokongnya itu tetap berdiri di belakangnya ketika beliau terheret ke kancah kontroversi pada tahun lalu, ekoran skandal Pusat Fidlot Nasional yang diusahakan anggota keluarganya.

“Mereka adalah teman saya dan teman adalah ibarat bintang. Ketika langit kian gelap, sinaran mereka akan semakin cerah,” katanya seperti dipetik akhbar berbahasa Inggeris itu.

Azalina pula menawarkan diri untuk menjadi “ejen perubahan” dalam sayap parti berkenaan, seiring dengan kemunculan generasi baru wanita dalam pergerakan itu.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, usaha tersebut akan menjadikan pergerakan Wanita Umno lebih menarik dan relevan dalam lanskap politik baru.

Azalina, yang juga merupakan bekas menteri pelancongan, kini mengetuai Kaukus Wanita di Parlimen.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.