Penulis kontroversi MD Mutalib meninggal dunia

   

Rakyat Sabah hari ini dikejutkan dengan berita kematian penulis berani, MD Mutalib atau Abdul Mutalib Mohd Daud, awal pagi tadi.

Beliau diberitakan meninggal dunia pada jam tiga pagi tadi di Kuala Lumpur akibat serangan strok atau angin ahmar.

Jenazah telah diterbangkan ke Kota Kinabalu untuk dibawa ke rumah beliau di Sulaman Kingfisher sebelum dibawa ke Masjid Bandaraya. Selepas itu, jenazah dibawa ke lapangan terbang untuk diterbangkan pula ke Lahad Datu.

Semasa hayatnya, beliau merupakan seorang aktivis yang berani dan lantang menyatakan penentangan beliau terhadap pemberian kad pengenalan secara haram dan juga isu-isu berkaitan rasuah serta penyalahgunaan kuasa di Sabah.

Keluarga beliau sebenarnya berasal daripada Kedah dan berhijrah ke Sabah lebih 40 tahun yang lepas ketika beliau masih kecil.

Walaupun dilahirkan di Semenanjung, tetapi, beliau lebih sentimen terhadap isu-isu semasa yang berlaku di Sabah.

Antara buku yang pernah ditulis beliau adalah IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir ?, IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah dan 007: Lelaki Malaysia Terakhir.

Walaupun buku-buku yang ditulis beliau disifatkan sebagai penuh kontroversi, namun hingga kini, tiada pihak yang berjaya mengheret beliau ke mahkamah.

Kematian ini disifatkan ramai sebagai suatu kehilangan besar. Pada masa yang sama, kebanyakan hasil penulisan beliau turut dijadikan bahan rujukan oleh sesetengah jabatan kerajaan.

Antara tulisan-tulisan terakhir yang sempat diterbitkan adalah berkaitan dengan isu pencerobohan di Kampung Tanduo dan juga isu Nurul Izzah Anwar yang dilarang memasuki Sabah baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut sempat memberikan keterangan dalam kes bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh yang menyaman fitnah seorang pemimpin PKR Dr Chong Eng Leong di mahkamah tinggi Kota Kinabalu dua minggu lepas.

Beliau, yang juga merupakan ketua editor portal berita Sabahkini , sepatutnya mengadakan pertemuan semula dengan rakan-rakan sekolah tingkatan enam beliau di SMK Menggatal pada tahun 1982. Pertemuan ini dijadualkan esok (Ahad).

Malaysiakini
terkini untuk anda