Sekumpulan peniaga berhimpun di Seksyen 7 Shah Alam hari ini bagi membantah kemunculan kedai runcit yang diusahakan oleh rangkaian pasaraya besar di kawasan kejiranan di kawasan terbabit.
Kumpulan yang mewakili Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) itu mendakwa, kehadiran kedai runcit tersebut mengganggu perniagaan runcit oleh peniaga kecil di kawasan kejiranan.
Penasihat MAWAR Bazeer Ahmed sewaktu berucap dalam perhimpunan itu juga mendakwa, kemunculan kedai runcit baru seperti itu juga akan meningkatkan kos sewa kedai peniaga lain.
"Kehadiran mereka akan meningkatkan harga sewa lot-lot kedai kerana mereka sanggup menyewa lot kedai pada harga lebih tinggi daripada orang lain.
"Di peringkat awal, harga barangan mereka memang lebih murah tetapi apabila semua kedai runcit kecil lain ditutup, mereka akan memonopoli perniagaan dan harga barangan," dakwanya.
Beliau turut menggesa agar kerajaan memperuntukkan dana bagi membina satu pusat khas menjual barangan secara pukal kepada peruncit kecil pada harga yang murah.
Ini akan membolehkan golongan peruncil kecil menjual barangan tersebut pada harga yang mampu menyaingi kedai runcit rangkaian dan kedai runcit oleh pasar raya besar yang dibuka di kawasan perumahan, kata Bazeer.
Seramai 30 orang peniaga berkenaan berhimpun selama kira-kira 45 minit, bermula jam 3.30 petang.
Mereka turut membawa kain rentang dengan slogan: '50,000 peniaga kecil dianiaya, 500,000 rakyat akan terbiar...”
Sementara itu, MP Shah Alam, Abdul Khalid Samad yang meluangkan masa menemui kumpulan itu berkata beliau telah menghubungi menteri perdagangan dalam negeri, Datuk Hassan Malek untuk membincangkan keresahan kumpulan peniaga terbabit.
Menurutnya, Hassan menggesa kumpulan itu menghubungi pejabat beliau bagi menetapkan masa untuk menemui mereka dan mendengar keluhan mereka.
