Polis Kelantan mengesan sekurang-kurangnya tiga kumpulan besar pengedaran dadah dan curi kereta yang bersengketa sesama mereka sehingga menyebabkan beberapa kes tembakan di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata sejak Januari lalu, lima kes berkaitan tembakan berlaku di negeri ini, namun jumlah itu menurun berbanding lebih 10 kes pada tahun lepas.
"Ia hasil risikan polis Kelantan untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah dan curi kereta di negeri ini.
"Kita telah mengenal pasti kumpulan-kumpulan dan individu yang terlibat dan sedang melancarkan gerakan memburu mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Jalaluddin berkata kejayaan terbaharu polis ialah menahan seorang lelaki berumur 25 tahun di Pasir Mas semalam selepas memeriksa sebuah kereta Proton Waja di hadapan sebuah bank di bandar itu.
"Pada pemeriksaan kira-kira 4.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan dan Pasir Mas yang memeriksa kereta tersebut yang dipercayai dicuri, menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang beralamat di Kampung Stong, Kemubu, Kuala Krai," katanya.
Beliau berkata hasil soal siasat ke atas lelaki itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun di sebuah rumah di Kampung Kelar, Pasir Mas dan merampas sepucuk senjata api dan satu kelongsong peluru di rumah itu.
Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga Selasa ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Jalaluddin berkata suspek berumur 25 tahun itu pernah ditangkap tiga kali berkaitan kes dadah dan curi kenderaan, manakala rakannya pula pernah ditangkap dua kali berkaitan kes dadah, selain kedua-dua suspek turut positif ujian air kencing.
- Bernama
