Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Indonesia menetapkan bahawa 1 Ramadan yang mewajibkan umat Islam berpuasa selama sebulan, jatuh pada Rabu, 10 Julai.

Menteri Agama Indonesia Surya Dharma Ali membuat pengumuman itu malam ini di sidang isbat dengan sejumlah pertubuhan Islam yang mewakili pelbagai kumpulan masyarakat di seluruh negara.

Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen.

Bagaimanapun, anggota pertubuhan Islam Muhammadiyah, sebuah daripada pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, akan mula berpuasa pada Selasa (9 Julai) kerana telah membuat penetapan berdasarkan kaedah kiraan pegangan mereka selama ini.

Ketua Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah Din Syamsuddin pada Khamis lepas mengumumkan bahawa tarikh 1 Ramadan yang harus diikuti anggotanya ialah 9 Julai.

Muhammadiyah, katanya, menentukan awal Ramadan menggunakan pendekatan hisab hakiki peredaran bulan, bumi dan matahari.

Setiap tahun, beberapa kumpulan masyarakat Islam di Indonesia memulakan ibadat puasa pada tarikh berbeza, contohnya sebahagian umat Islam di Gorontalo, yang mula berpuasa lebih awal, iaitu pada Isnin (8 Julai).

Kumpulan dari jamaah Al-Qadiriyah di Desa Milango, daerah kecil Dambalo, Gorontalo Utara, itu menetapkan awal puasa berdasarkan ramalan bulan dan keyakinan hati.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak memaksa anggotanya memulakan puasa hari ini.

- Bernama

ADS