Hanya pihak yang melakukan kesalahan sahaja takut dengan Akta Hasutan 1948 sehingga mahu memansuhkannya, kata ahli Parlimen Jempol Tan Sri Isa Samad.

"Sebab nak pinda itu tiada (sebab). Kalau tengok suasana sekarang, tak pinda pun tak apa, orang yang nak pinda ini orang yang takut sahaja.

"Kalau kita tak buat salah, kita tak takutlah," katanya ketika ditemui Malaysiakini di bangunan Parlimen hari ini.

Isu pemansuhan Akta Hasutan kini giat dibincangkan semula kerana selepas perdana menteri mengumumkan hasrat memansuhkannya tahun lalu, ia terus juga digunakan.

Malah, anggota kabinet berbeza pendapat berhubung perkara itu.

Menurut Menteri Pelancongan Datuk Seri Abdul Nazri Aziz, kabinet bersetuju memansuhkan akta kontroversi itu dalam satu pertemuan tahun lalu dan Jabatan Peguam Negara diminta mengkajinya.

Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam sebelumnya yang berkata, hasrat itu "cadangan" Najib dan kabinet akan "mempertimbangkan" sebelum membuat keputusan.