BERITA

'Bantuan semasa p'raya adalah kebetulan'

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jul 2013, 11:38 malam

Bantuan yang disalurkan kerajaan kepada golongan nelayan atau petani dibuat secara berterusan dan bukannya bersifat bermusim seperti semasa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin dan berusaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya golongan nelayan atau petani.

"Jika bantuan diberikan semasa bahang pilihan raya diadakan, ia adalah secara kebetulan. Seperti saya datang ke Kuala Besut, sudah pasti mengikut adat orang Melayu saya akan bawakan sedikit cenderamata kepada tuan rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bersama Penduduk DUN Kuala Besut di Kampung Baharu Kuala Besut, hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu Nawi Mohamad, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu Dr Marzuki Zakaria dan Pengawai Daerah Besut A Rahim Jusoh.     

Pada program itu, Tajuddin menyampaikan bantuan bernilai RM147,750 dalam bentuk anak ayam kampung, kambing, makanan ayam dan motosikal roda tiga daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu kepada 314 petani sekitar Kuala Besut.

Pada 24 Julai ini, pilihan raya kecil DUN Kuala Besut akan diadakan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan calon PAS [email protected] Yusof.

Sementara itu, seorang daripada penerima bantuan, Mat Yusof Awang Ahmad, 73, dari Kampung Gong Manok di sini berkata, beliau bersyukur menerima bantuan itu dan akan menjaga 15 ekor anak ayam kampung yang diterimanya dengan sebaik mungkin.

"Ini kali pertama saya menerima bantuan seperti ini daripada kerajaan dan ayam ini akan dijaga sehingga cukup umur sebelum dijual pada harga RM8 sekilogram," katanya yang menjalankan penternakan ayam kampung secara kecil-kecilan.

Penduduk Kampung Baharu di sini, Mohammad Ishak, 65, pula berkata bantuan itu akan dijadikan permulaan untuk beliau berjinak-jinak dalam penternakan ayam kampung untuk menampung perbelanjaan selain bergantung kepada pencen setiap bulan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.