Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga Filipina dapat kerakyatan guna nama Islam

Seorang warga Filipina yang dilahirkan sebagai seorang penganut Kristian, telah menjadi warganegara Malaysia selepas dia diberi nama Islam oleh rakan bapanya untuk melicinkan proses dokumentasi, demikian suruhanjaya siasatan diraja (RCI) tentang pendatang di Sabah diberitahu hari ini.

Shafee Mohd Yusof, yang nama asalnya Johnny Amules, memberitahu suruhanjaya tersebut bahawa seorang lelaki yang bernama Mohd Yusof menjadikannya dan dua lagi adik-beradiknya sebagai "anak angkat" ketika dia berusia sembilan tahun.

Ini membolehkannya mendapatkan sijil kelahiran lewat walaupun dia tidak dilahirkan di Sabah, dan kemudiannya diberikan MyKad.

Shafee tiba secara haram, tanpa sebarang dokumen, dengan bapa tirinya, ibu, kakak dan seorang adik beradik lelakinya dari Filipina ketika dia berusia enam tahun.

Bapa tiri Edwin, yang bekerja sebagai mekanik dengan seorang ahli perniagaan di Semporna, berjumpa dengan rakannya, Mohd Yusof bagi membantu kanak-kanak tersebut mendapatkan dokumentasi supaya mereka boleh bersekolah dengan lebih mudah.

Shafee berkata, beliau bersekolah berdasarkan surat akuan dari pejabat daerah Semporna apabila Mohd Yusof membawanya ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Semporna.

Beliau dan adik-beradiknya kemudiannya masing-masing dikeluarkan sijil kelahiran lewat di bawah nama Islam.

Sijil kelahiran itu menyatakan Mohd Yusof sebagai bapa Shafee; isteri Mohd Yusof sebagai ibu; dan Semporna sebagai tempat kelahiran.

"Beliau juga membantu kami mendapatkan Kad Bunga Raya (IC lama). MyKad adalah satu-satunya yang saya memohon untuk diri saya sendiri," kata Shafee.

Bapa tiri dan ibunya masih tinggal di Semporna tanpa dokumen, katanya, tetapi beliau tidak tahu di mana Mohd Yusof berada sekarang.

Dua lagi adik beradiknya yang nama asal mereka Abigail dan Leo, mengamalkan agama Islam, kata Shafee.

Shafee kini berkahwin dengan seorang rakyat Filipina beragama Islam yang juga tidak mempunyai dokumen kecuali pasport Filipina. Tiga anak mereka semua mempunyai sijil kelahiran dan MyKid.

[Baca berita penuh]

ADS