'Tiada lagi mesin taip Braille dibekal selepas waktu sekolah'
Exco Kerajaan Pulau Pinang, Chong Eng menggesa kerajaan pusat mengutamakan kepentingan murid cacat penglihatan yang menurutnya kini tidak lagi dibekalkan mesin taip Braille selepas waktu persekolahan seperti sebelumnya.
Chong yang merupakan pengerusi jawatankuasa belia dan sukan, pembangunan wanita, Keluarga dan komuniti negeri berkata ibu bapa murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Alma telah mengadu mengenai perkara itu.
"Pada masa lalu, kerajaan menyediakan mesin Brailler kepada murid cacat penglihatan semasa waktu persekolahan, dan membekalkan mesin taip Braille secara individu kepada mereka selepas waktu persekolahan.
"Kini, pelajar tidak diberi kemudahan tersebut menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan kerja rumah jika tidak berada di sekolah," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa mesin taip Braille adalah alat keperluan bagi murid cacat penglihatan dalam pembelajaran dan menggesa kerajaan mengurangkan beban mereka.
Menurutnya, harga pasaran sebuah mesin Brailler adalah kira-kira RM2,250 dan "wang yang dibelanjakan untuk hiburan sehari semasa Hari Belia 2012 iaitu RM 11 juta sudah boleh membeli lebih kurang 5,000 mesin Brailler bagi membantu kanak-kanak yang cacat penglihatan".
Justeru, tambahnya, kerajaan tidak boleh memberi alasan bahawa peruntukan tidak mencukupi untuk membeli mesin tersebut untuk murid cacat penglihatan.
Berdasarkan aduan dari bapa murid sekolah berkenaan kata Chong, beliau bertanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.
"Pegawai jabatan itu memberitahu, jika murid-murid cacat penglihatan ingin meminjam mesin taip Braille untuk kegunaan peribadi, mereka perlu memohon di Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Tengah.
"Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Tengah pula memberitahu setiap murid tersebut perlu membuat permohonan secara individu kepada pihaknya untuk mendapatkan mesin Brailler," katanya.
Tetapi, katanya, setelah pihak sekolah menghantar senarai murid yang ingin memohon penggunaan mesin Brailler, mereka perlu menunggu kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Tengah untuk menggunakan mesin Brailler selepas waktu persekolahan.
Chong mendakwa, ini membuktikan bahawa kementerian pelajaran dan kementerian kebajikan masyarakat tidak dapat mengendalikan dengan baik penyelarasan peminjaman mesin Brailler murid cacat penglihatan.
Katanya, ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong telah membangkitkan di Dewan Rakyat mengenai adanya sekumpulan murid cacat penglihatan yang tidak mendapat bekalan mesin Brailler selepas waktu persekolahan.
Chong menggesa kementerian pelajaran dan jabatan kebajikan masyarakat supaya menangani perkara itu dengan segera kerana pendidikan adalah penting untuk semua murid.
"Kerajaan pusat tidak boleh mengabaikan hak murid-murid cacat penglihatan untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik," katanya.

