Kerajaan kini mengambil pendekatan baharu dengan memberi tumpuan untuk memperkasa pembangunan ekonomi di luar bandar supaya masyarakatnya menikmati kehidupan setanding dengan penduduk bandar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kerajaan berpendapat bahawa komuniti luar bandar dalam abad ke-21 lebih memerlukan pembelaan untuk menikmati kehidupan sempurna seperti yang dinikmati penduduk bandar sekarang.

Strategi pembangunannya ialah dengan memfokus untuk mengadunkan pembangunan infrastruktur asas dengan aktiviti ekonomi setempat, katanya pada majlis berbuka puasa bersama penduduk Kampung Sungai Tengas, Serdang dekat Bandar Baharu malam tadi.

Turut hadir Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah Datuk Mohd Tajuddin Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd Nor.

"Sehubungan itu kementerian saya akan memastikan pembangunan di kawasan luar bandar disekalikan dengan kegiatan ekonomi yang turut menyediakan pekerjaan kepada penduduk," katanya dan menambah pendekatan ini dirumus selepas kerajaan turut mengambil kira faktor kesetiaan penduduk luar yang menyumbangkan kepada pengekalan kuasa Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13.

Mohd Shafie berkata dalam usaha memastikan kawasan luar bandar dibangunkan dengan infrastruktur bertaraf dunia, kerajaan akan menunaikan Akujanji BN melalui pengenalan konsep Kampung Abad ke-21, yang buat permulaan sebanyak 29 buah kampung telah dipilih di seluruh negara bagi menjayakan program tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang merupakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah melahirkan rasa bersyukur kerana rakyat mengembalikan semula kuasa pemerintahan BN di Kedah pada pilihan raya umum lepas.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM500,000 untuk projek membina dan membaik pulih 20 rumah penduduk serta memperbaiki jalan luar bandar di Kampung Sungai Tengas.

- Bernama