Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS WP sokong haram Pertubuhan Syiah M'sia
Diterbitkan:  Jul 25, 2013 1:42 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyambut baik usaha kerajaan mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia kerana menurutnya, ajaran itu secara jelas memesongkan akidah serta mencetuskan perbalahan umat Islam di negara ini.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, beliau juga beranggapan, ajaran Syiah merupakan satu ajaran sesat yang lebih merbahaya daripada Al-Arqam serta ajaran sesat yang lain.

"Apa yang dibimbangkan adalah umat Islam yang terperangkap dengan doktrin dan ajaran songsang Syiah  kebanyakannya adalah jahil agama dan baru berjinak-jinak dengan agama Islam.

"Mereka diberi kefahaman mengenai Islam pada suatu sudut yang sempit, tidak menyeluruh sehingga mengambil ringan soal ibadat dan amalan Islam.

"Kesan penularan Syiah kepada umat Islam dan masyarakat ialah berlakunya perkahwinan songsang (muta’ah), kefahaman Islam yang longgar sehingga meringan-ringankan ibadat dan rukun Islam, mencaci para sahabat Nabi Muhammad SAW dan lain-lain lagi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar kerajaan bertindak tegas dengan menghalang penyebaran ajaran Syiah terutama di pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau turut menasihatkan agar pengikut Syiah di negara ini bertaubat dan memahami ajaran Islam yang sebenar menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk mengharamkan Pertubuhan Syiah Malaysia berikutan gerakan aktif pertubuhan itu memudarat ketenteraman awam dan mencetuskan keresahan umat Islam di negara ini.

Perisytiharan yang berkuatkuasa semalam itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966 melalui kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS