Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dalam keputusan penting hari ini, Mahkamah Tinggi Ipoh membatalkan penukaran agama tiga orang kanak-kanak yang di bawah umur - anak kepada M Indira Gandhi. Bapa mereka telah menukar agama mereka kepada Islam tanpa pengetahuan Indira.

Hakim Lee Swee Seng memutuskan bahawa kanak-kanak tersebut tidak bertukar agama kerana mereka tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Hakim juga memutuskan bahawa cubaan menukar agama itu bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.

Ketika membaca penghakimannya selama satu jam 40 minit, Hakim Lee menegaskan bahawa keputusan itu tidak bermakna kemenangan bagi sesiapa pun, tetapi "kita perlu belajar untuk hidup dalam suasana harmoni".

MP Ipoh Barat M Kulasegaran, yang mewakili Indira (kanan) dan anak-anaknya, menyuarakan kegembiraannya dengan keputusan itu melalui twitter. Seorang lagi peguam Indira dalam kes tersebut ialah K Shanmuga.

Tiga anak Indira itu telah ditukar agama kepada Islam pada April 2009 oleh suaminya, Mohd Riduan Abdullah, tanpa pengetahuan beliau.

Beliau memfailkan kes sivil terhadap pengarah Jabatan Jabatan Agama Perak, kerajaan negeri dan persekutuan, Kementerian Pelajaran dan suaminya K Patmanathan (kini dikenali sebagai Riduan).

Beliau mempunyai dua orang anak perempuan, yang kini masing-masing berusia 16 tahun dan lima tahun, dan seorang anak lelaki berusia 15 tahun. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Mahkamah Tinggi memutuskan perakuan pengislaman terhadap tiga anak seorang guru tadika, M. Indira Ghandi, adalah batal dan tidak sah.

   

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memutuskan pertukaran agama yang dibuat Mohd Ridzuan Abdullah, bapa kepada Tevi Darsiny, 16; Karan Dinish, 15 dan Prasana Diksa, 5, adalah tidak mengikut peraturan.

   

"Berdasarkan Enakmen Pentadbiran Islam Perak, ketiga-tiga anak itu perlu mempunyai hasrat untuk memeluk agama Islam tanpa sebarang paksaan.

"Dalam kes ini, ketiga-tiga anak berkenaan tidak dapat dibuktikan melafazkan dua kalimah syahadah dan mereka serta ibunya tidak hadir ke Pejabat Agama Islam untuk mendaftar bagi tujuan menukar agama," katanya dalam penghakimannya yang dibaca selama 1 jam 40 minit.

   

Lee berkata penukaran agama itu juga tidak sah dan batal kerana tiga beradik itu tidak hadir di hadapan pegawai agama bagi tujuan melafazkan pengisytiharan memeluk Islam (mengucap dua kalimah syahadah).

   

Katanya keputusan itu dibuat bukan untuk kemenangan mana-mana pihak tetapi lebih penting adalah keharmonian untuk semua agama dalam negara ini.

   

Mohd Ridzuan, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan, membuat pertukaran agama daripada Hindu kepada Islam bagi ketiga-tiga anaknya pada April 2009 dan memperoleh sijil pertukaran itu daripada Jabatan Agama Islam Perak untuk ditunjukkan kepada Indira Ghandi sebagai bukti.

   

Pada 25 Oktober 2009, Indira Ghandi, 38, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan Perakuan Memeluk Islam tiga anaknya.

   

Wanita itu kemudian membuat permohonan kepada mahkamah sama supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan berkaitan perundangan bagi kes ibu bapa dan anak-anak yang terbabit dalam perkahwinan didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Cerai) 1976.

   

Ia termasuk persoalan sama ada ibu atau bapa secara sebelah pihak boleh menukar agama anak mereka yang masih di bawah umur kepada Islam selepas perkahwinan tanpa mendapat persetujuan sebelah pihak lain dan keputusan mana terpakai jika berlaku pertentangan perintah yang dikeluarkan antara Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah.

   

Kes pasangan berkenaan pernah mendapat perhatian umum hingga ke Kabinet pada April 2009, memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama.

   

Keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah, terutama  anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan secara tidak adil.

   

ada April 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak penjagaan tiga beradik itu kepada Mohd Ridzuan, tetapi 11 Mac 2010, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim, memutuskan hak penjagaan tiga beradik itu diserahkan kepada bekas isterinya iaitu Indira Ghandi.

   

Sementara itu, Indira Ghandi ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau gembira dengan keputusan ini setelah menanti selama empat tahun.

   

"Saya berterima kasih kepada peguam saya yang banyak membantu dalam kes ini," katanya.

   

Kes berkenaan membabitkan enam responden iaitu Penolong Penasihat Undang-Undang negeri, Norazura Mokhtar mewakili responden satu, dua dan tiga iaitu Pendaftar Mualaf, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak dan kerajaan Perak serta turut menyebut bersama responden empat dan lima iaitu Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Malaysia.

   

Peguam Hatim Musa mewakili responden keenam iaitu Mohd Ridzuan manakala Indira Ghandi diwakili peguam M. Kulasegaran, N. Selvam dan K. Shanmuga.

   


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS