BERITA

Doktor rasis: Masih tunggu laporan KM P Pinang - Hilmi

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Jul 2013, 4:12 petang

Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan siasatan Kerajaan Pulau Pinang berhubung dakwaan tiga doktor bersikap rasis dan tidak memberi perkhidmatan baik kepada pesakit di hospital kerajaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihak kementerian masih belum menerima laporan daripada pihak Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung isu itu.

Katanya Ketua Menteri Lim Guan Eng telah berjanji secara lisan akan menyiasatkan kes berkenaan dan maklumat itu akan disalurkan kepada pihak kementerian tetapi setakat ini, pihaknya hanya terima laporan daripada anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin.

"Kami masih menunggu laporan terperinci daripada Lim," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 di pasar awam Bayan Baru George Town hari ini.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang awal bulan Julai, Lim membangkitkan isu mengenai pesakit hospital kerajaan tidak diberi layanan baik oleh tiga doktor yang didakwa bersikap rasis.

Hilmi berkata kelmarin, pihaknya menerima laporan daripada Adun Pinang Tunggal yang mengemukakan maklumat dan orang yang  terlibat telah membuat pengakuan.

Selasa lepas, Roslan dilaporkan menampilkan beberapa pesakit yang mendakwa menerima layanan buruk daripada doktor di dua buah hospital kerajaan di Pulau Pinang bagi membuktikan kejadian itu memang berlaku.

Sementara itu, Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata kesemua premis makanan haruslah mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi bagi mengelak jangkitan virus.

"Dari semasa ke semasa, kami akan memantau tahap kebersihan di semua premis seluruh negara," katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.